Nuha AF Muncul Kembali Sebagai Sam Nuhair

Last update: 27/02/2017

Oleh Shukri Azami

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Syamila Nuhair Zainordi, dahulunya dikenali dengan Nuha AF yang mendapat tempat keempat dalam program Akademi Fantasia musim ke-11, kini muncul kembali sebagai Sam Nuhair.

Artis terbaik Raku (perkhidmatan radio dan penstriman muzik percuma Malaysia) ini, yang muncul dengan single terbaru hasil nukilannya 'Kau Menjauh,' ternyata menyerlahkan lagi bakat Sam Nuhair sebagai penyanyi dan penggubah lagu.

Menerusi 'Program Up Close & Personal With Sam Nuhair,' beliau menyampaikan lima buah lagu, Love On Top, Saving All My Money, Kau Menjauh, sebuah lagu Mandarin bertajuk The Moon Represents My Heart dan lagu khas untuk kedua ibu bapa beliau yang selama ini menjadi tulang belakang beliau.

"Saya ambil langkah menghasilkan single terbaru ini sebagai kemunculan saya semula selepas lama tidak mengeluarkan apa-apa produk. Selepas ini, saya akan ikut jadual yang disusun oleh pihak pengurusan saya," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Beliau yang dalam proses pembikinan lagu seterusnya berharap diterima baik oleh semua pihak sekembalinya beliau di persada muzik Malaysia bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penggubah lagu.

SEJARAH HITAM

Lumrah perjalanan anak seni yang terpaksa menempuhi onak dan duri, beliau juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa penipuan individu tidak bermoral yang sentiasa mencari peluang dalam industri seni tanah air.

"Saya berdiam diri selama dua tahun untuk membina keyakinan diri dan bangkit semula daripada sejarah hitam yag dilalui," ujar Sam Nuhair.

Menurut penyanyi 23 tahun ini, proses pembikinan single 'Kau Menjauh' bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran terpaksa dilalui sehingga beliau kerugian lebih RM30,000 untuk menyempurnakannya.

"Apa jua yang berlaku biarlah ia menjadi pengajaran agar lebih berhati-hati apabila berurusan dalam bidang ini," katanya.

-- BERNAMA