Filem 'The Kid From The Big Apple' Ditayang Di Pawagam Khamis

Last update: 09/03/2016

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Filem tempatan 'The Kid From The Big Apple', yang memenangi empat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Macau ke-7 pada Disember lalu akan ditayangkan di pawagam mulai Khamis.

Filem yang diangkat sebagai Penulisan Skrip Terbaik itu mengisahkan tentang pertembungan budaya dan tradisi antara seorang cucu yang dibesarkan di New York dengan datuknya yang berpegang teguh dengan tradisi masyarakat Cina Malaysia.

Pengarahnya Jess Teong berkata filem bergenre komedi itu yang sarat dengan mesej kekeluargaan serta nilai kemasyarakatan juga akan di pratontonkan pada Festival Filem Asia Osaka ke-11 bulan ini.

"Ketika menulis skrip untuk filem ini, matlamat saya hanyalah untuk berkongsi sebuah cerita yang jujur dan sangat bermakna untuk penonton.

"Namun saya tidak pernah menyangka filem ini akan menerima pengiktirafan sebesar ini," katanya yang juga seorang pelakon.


Jess mengakui penghasilan filem berdurasi 120 minit itu terbitan Three Production Sdn Bhd merupakan cabaran terbesar baginya dan langkah pertamanya dalam industri kreatif negara.

"Cabaran terbesar dalam penghasilan filem ini adalah untuk memuaskan hati saya seperti mana yang digambarkan dalam fikiran sendiri dan saya mahukan ia sempurna bermula dari penulisan skrip sehingga penghasilannya," katanya.

Antara barisan pelakon filem ini ialah pelakon cilik Tan Qin Lin dan Tan Jason serta pelakon popular dari Hong Kong iaitu Tommy Tam (Ti Lung) dan Jessica Hester Hsuan.

Filem dwibahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris ini juga akan ditayangkan di Singapura mulai esok, di Taiwan pada 11 Mac dan di Hong Kong pada 21 April.

-- BERNAMA