Pelajar Kurang Cemerlang SPM Dan STPM Disaran Belajar Kemahiran

Last update: 09/03/2016

ALOR SETAR, 9 Mac (Bernama) -- Pelajar yang mendapat keputusan kurang memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) disarankan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pendedahan awal oleh guru dan guru kaunseling perlu bagi memastikan mereka memperoleh maklumat lengkap untuk mendapatkan sijil kemahiran sebelum bekerja dalam bidang tertentu.

Beliau berkata kegagalan pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan untuk melanjutkan pengajian adalah disebabkan kurangnya maklumat terperinci mengenai perkara itu berbanding maklumat ke pusat pengajian tinggi bagi mereka yang cemerlang.

"Mereka boleh ambil sijil dalam bidang pembinaan, automotif, seni kulinari dan perhotelan dalam tempoh masa tertentu. Selepas mereka tamat pengajian, gaji yang ditawarkan kira-kira RM2,000 atau setanding dengan mereka yang memiliki ijazah.

"Kita perlu banyakkan karnival hala tuju pelajar SPM dan STPM di kawasan luar bandar bagi memberi gambaran jelas untuk mereka mencapai kejayaan cemerlang suatu hari nanti," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Karnival Hala Tuju Lepasan SPM dan STPM, hari ini.


Mahdzir berkata walaupun akademik mereka tidak baik, tidak bererti mereka gagal untuk mendapat pekerjaan yang bagus, sebaliknya khidmat mereka dalam bidang kemahiran diperlukan bagi memenuhi permintaan dalam pelbagai sektor.



Karnival Hala Tuju Pelajar Lepasan SPM dan STPM anjuran UMNO Bahagian Padang Terap berlangsung selama dua hari, bermula hari ini dengan penglibatan 22 universiti dan kolej serta pusat kemahiran.

-- BERNAMA