Al-Wildan Rancangan Bual Bicara Kanak-Kanak TV AlHijrah

Last update: 09/03/2016

Oleh Khaliq Radzi


KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- TV Al-Hijrah menerbitkan sebuah rancangan bual bicara kanak-kanak berjudul Al-Wildan yang bakal bersiaran bermula 12 Mac pada setiap hari Sabtu dan Ahad jam 4.05 petang.


Rancangan selama 25 minit yang berkonsepkan 'edutainment' ini akan disiarkan selama 39 episod. Ia menampilkan adik Mia Sara dan Pencetus Ummah Ustaz Rahmat Ikhsan selaku hos rancangan.


Menurut Ustaz Rahmat, ini merupakan kali pertama beliau mengacarakan bual bicara kanak-kanak dan mengambilnya sebagai cabaran untuk menyelami tingkah laku anak-anak kecil.


"Rancangan Al-Wildan ini memberi pendedahan kepada anak kecil menyelami dunia orang dewasa mengenai kemahiran, kerjaya, kesihatan dan skil-skil lain seperti kreativiti minda, ilmu persembahan pentas dan lain-lain," jelasnya.


Sementara itu, menurut Mia Sara cabaran yang dihadapinya adalah mengacarakan Al-Wildan secara spontan untuk mencari idea menghiburkan kanak-kanak.


"Gandingan bersama Ustaz Rahmat sangat membantu dalam mengendalikan bual bicara ini lebih-lebih lagi dalam mereka permainan untuk kanak-kanak," katanya.


Al-Wildan mempunyai empat segmen iaitu Lawatan Sambil Belajar, Jom Jumpa Doktor, Ya Hanana dan Bijak Tani dan pada setiap episod tiga kanak-kanak yang berbakat akan dipanggil ke studio untuk membuat persembahan.


Rancangan Al-Wildan ini telah mendapat tajaan dari Wildan Susu Kambing, peneraju utama susu kambing organik di Malaysia.


-- BERNAMA