Misi Cabaran OKU Di Kinabalu & Paragliding Dari Puncak Tertinggi Asia Tenggara

Last update: 08/03/2016

Oleh Nadzirah Hata


(Nadzirah Hata merupakan seorang penulis bebas dan tulisan beliau boleh diakses di nadzirahata.blogspot.com)


KOTA KINABALU, 8 Mac (Bernama) -- Tarikan Gunung Kinabalu begitu kuat bagai sebuah magnet berkuasa tinggi. Ada yang sudah beberapa kali sampai ke puncaknya.


Namun rasa kepuasan yang tidak terhingga dan menggamit hati dengan keindahan pemandangannya, menyebabkan mereka berulang kali mahu menawan puncaknya.


Panorama imej matahari terbit dan terbenam di puncak tertinggi di Asia Tenggara itu sentiasa menjadi satu kemestian kepada setiap pendaki. Pelbagai jenis kamera digunakan untuk merakam keindahan itu.


Pertama kali penulis mendaki dan berjaya menawan puncak Akinabalu pada bulan Mac tahun lalu melalui laluan Mesilau. Tiga bulan selepas itu terjadinya gempa bumi di Gunung Kinabalu.


Pada hujung Januari tahun ini sekali lagi penulis berjaya menawan puncaknya melalui laluan baharu iaitu laluan Ranau. Laluan Ranau bermula dari Laban Rata dan jaraknya agak jauh daripada laluan sebelumnya dan papan tanda apabila sampai ke puncak tidak lagi seperti yang disaksikan pada tahun sebelumnya.


MISI CABARAN BERSAMA ADAM


Pendakian kali ini sangat istimewa kerana penulis diberi peluang oleh pihak Team Anak Gunung (FB TAG: Team Anak Gunung)
untuk menjayakan misi Cabaran Pendakian Gunung Kinabalu bersama seorang insan istimewa yang lebih mesra dipanggil Adam atau nama sebenar beliau Azrulkhan Hasrullah (FB Hasrullah Azrulkhan) dan juga misi Paragliding dari puncak Gunung Kinabalu.


Misi ini diketuai oleh Muhammad Ariff Baharum selaku Pengarah Projek TAG diiringi oleh tiga orang krew dan 26 pendaki yang lain.


Adam 24, pelajar kelainan upaya dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membuktikan kecacatan anggota tidak menghalangnya untuk mendaki Gunung Kinabalu.


Beliau yang lumpuh kaki hanya bergantung pada kekuatan tangan untuk mendaki bermula dari Pondok Timpohon, di kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat pada ketinggian 3,700 meter.


Kekurangan diri tidak pernah menjadi alasan untuk Azrulkhan Hasrullah untuk berusaha mencapai apa yang dihajatinya. Adam telah membuktikan tiada apa yang mustahil, seandainya keinginan disertai dengan usaha dan doa.


SUMBER INSPIRASI


Meskipun pendakian Adam cuma sampai di Sayat-Sayat sahaja, namun dengan segala kekurangannya beliau patut menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia tentang kecekalan dan semangat waja demi mencapai sesuatu matlamat.


Berikutan itu, Adam menyimpan tekad untuk kembali mendaki Gunung Kinabalu dengan misi untuk menawan puncaknya pada masa akan datang.


Beliau berkata, hanya faktor masa yang menyukarkan usahanya untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu berikutan sukar bergerak untuk menepati masa ditetapkan, selain suhu dingin yang mencengkam tubuh.


Bagi misi Paragliding dari Puncak Gunung Kinabalu pula, ia telah dijayakan oleh Mohd Anwar Mohd Ridzuan, 31, seorang paraglider yang berpengalaman selama lima (FB: Planta Runner).


Beliau merasakan ia adalah suatu pengalaman yang sangat mengujakan dan sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat 'terbang' dari ketinggian 13,000 kaki dari Gunung Kinabalu. Ia merupakan impian yang menjadi kenyataan.


BAGAIKAN MIMPI


Ia bagaikan suatu mimpi apabila dapat menikmati keindahan Puncak Borneo dari udara melalui Banjaran Croker dan terbang di atas awan tebal. Ia pastinya menjadi kenangan paling manis sepanjang Mohd Anwar bergiat dalam sukan paragliding ini.


Beliau telah membawa penumpang untuk terbang bersama dan ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendarat di pekan Kundasang. Ini adalah pertama kali aktiviti 'tandem paragliding' diadakan dari Gunung Kinabalu.


Di sebalik keterujaan untuk terbang, pelbagai aspek keselamatan perlu diutamakan. Pelbagai faktor diambil kira seperti porter perlu membawa peralatan untuk terbang dan payung terjun seberat 25kg naik ke Pondok Sayat-Sayat.


Selain itu, keadaan batu-batu dan struktur permukaan yang tidak rata di Gunung Kinabalu juga merupakan cabaran besar yang perlu diatasi untuk mengelakkan risiko payung terjun terkoyak dan tali terputus terkena batu tajam.


Faktor cuaca dan angin amat penting. Angin dari atas gunung sangat kencang menyebabkan Mohd Anwar perlu bergelut untuk menstabilkan kedudukan tali payung terjun dan tempat duduk penumpang supaya dapat mengawal payung terjun dengan baik.


TARIKAN TERBAHARU


Mohd Anwar juga hasrat untuk menjadikan aktiviti paragliding sebagai tarikan terbaharu di Gunung Kinabalu dan ia masih lagi dalam tahap perbincangan bersama dengan komuniti paragliding.


Misi Cabaran OKU di Gunung Kinabalu dan Paragliding dari Puncak Tertinggi Asia Tenggara bersama TAG telah berjaya memjadikan pendakian penulis kali ini sangat bermakna.


Penulis pasti dengan magnet berkuasa tinggi Gunung Kinabalu ini akan bertambah kuat kuasanya untuk menarik seluruh insan dari seantero dunia untuk menawan puncaknya.


--BERNAMA