Jamal, Misha Bergabung April Ini Untuk Minggu Setiausaha

Last update: 07/03/2016

Oleh Nor Amirah Mahmuddin


KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Datuk Jamal Abdillah dan Misha Omar bakal bergabung vokal dalam majlis Minggu Setiausaha yang akan diadakan pada 29 April di Taming Sari Grand Ballroom, The Royale Chulan, Kuala Lumpur.


Majlis anjuran Music Messee Production ini turut menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara.


Minggu Setiausaha yang bertemakan 'glamour' itu akan berlangsung selama dua setengah jam.


"Majlis ini akan berlangsung pada waktu malam bagi memberi peluang bukan sahaja kepada para setiausaha tetapi kepada semua peminat kedua-dua penyanyi ini untuk menyertai majlis ini," kata Farah Halim, Pengurus Perhubungan Awam, The Royale Chulan, Kuala Lumpur, Isnin.


Majlis ini akan menyaksikan Jamal dan Misha diiringi oleh para pemuzik latar yang dipimpin oleh Helen Yap.


Antara lagu yang bakal didendangkan oleh Jamal Abdillah ialah Kekasih Awal dan Akhir, Azura dan Gadis Melayu.


Menurut Jamal, beliau akan memberi peluang kepada peminat untuk membuat permintaan lagu dan mendendangkan lagu tersebut tanpa iringan muzik.


Manakala, Misha akan menghiburkan tetamu dengan lagu-lagu popular beliau seperti Adam dan Hawa dan Bunga-bunga Cinta.


Harga tiket adalah bergantung kepada pakej yang ditawarkan iaitu VVIP, Platinum, Gold dan Silver bermula dari RM 5500 hingga RM 7500.


Sebarang tempahan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Music Messee Production di talian 012 4481761, 019 3549101, 012 2740273 atau music.messee@gmail.com.


-- BERNAMA