Tiga Artis Evergreen Bergabung Gegarkan Menara KL

Last update: 18/02/2016

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Sambutan Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur bakal menyaksikan gandingan hebat dan eksklusif antara Datuk M.Nasir, Jay Jay dan Ogy Ahmad Daud.

Buat pertama kalinya mereka bertiga akan bersama menghiburkan tetamu dalam acara yang diberi nama 'Suatu Masa...Bersama Datuk M.Nasir'.

"Ini merupakan kali pertama kami berkolaborasi dan beraksi di Minggu Setiausaha dan persembahan ini jauh berbeza daripada persembahan sebelum ini yang lebih terbuka," kata penyanyi dan komposer terkenal, M.Nasir pada sidang media di sini, hari ini.

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad mengakui acara itu memberi kelainan dan cabaran buatnya, namun menjanjikan persembahan yang hebat bagi meraikan setiausaha pada 28 April ini.

"Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada pengurusan Menara KL kerana memilih saya membuat persembahan di menara tertinggi di Asia Tenggara," katanya yang bakal mempersembahkan kira-kira 10 lagu popularnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata persembahan eksklusif itu bakal diadakan di Dewan Bankuet Megaview, Menara KL dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

Katanya majlis itu memberi ruang kepada peminat untuk menikmati persembahan secara langsung dan beramah mesra bersama ketiga-tiga artis popular tanah air berkenaan.

"Berkonsepkan 'Suatu Masa...', kami cuba membawa peminat M.Nasir mengimbau kembali zaman kegemilangan bermula sejak empat dekad yang lalu iaitu ketika zaman rock balada pada tahun 80-an.

"Di samping itu, kami juga akan memperkenalkan menu makanan yang bersesuaian dengan konsep Minggu Setiausaha kali ini iaitu menu ala-kampung," katanya.

Meor Shahril Anuar berkata tempat adalah terhad kepada 256 orang sahaja dan harga tiket bagi satu meja adalah antara RM3,100 hingga RM7,600, bergantung kepada pakej iaitu VVIP, Platinum, Emas dan Perak.

-- BERNAMA