Malaysia Menyalurkan Bantuan Musim Sejuk Kepada Pelarian Syria Di Jordan

Last update: 16/02/2016

PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia telah menyumbangkan bantuan kemanusiaan musim sejuk kepada 100 buah keluarga pelarian Syria pada 11 Februari 2016.


Duta Besar Malaysia ke Jordan, Zakri Jaafar telah menyampaikan sumbangan seperti selimut dan susu tepung kanak-kanak kepada setiap wakil keluarga pelarian.


Program pengagihan bantuan kemanusiaan kepada keluarga pelarian Syria lain akan dilaksanakan di sekitar Jordan bermula pada 13 Februari 2016.


Kedutaan telah mendapat bantuan daripada Jordan Hashemite Charity Organisation (JHCO) dalam mengenalpasti keluarga-keluarga pelarian Syria yang tinggal di kalangan masyarakat Jordan, iaitu di luar daripada kem-kem pelarian untuk diberikan sumbangan ini.


JHCO merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang ditauliahkan oleh Raja Jordan untuk menjadi agensi penyelaras bagi hal ehwal penyaluran bantuan kemanusiaan kepada komuniti pelarian dengan kerjasama Kerajaan Jordan.


Program bantuan kemanusian ini adalah hasil inisiatif Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, selaku penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia atau Global Children's Wellbeing Fund (GCWF) dan Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) Malaysia.


Kedua-dua badan kebajikan tersebut telah menyumbangkan USD240,000 untuk disalurkan kepada pelarian Syria di Jordan, iaitu USD200,000 merupakan sumbangan GCWF dan USD40,000.00 lagi merupakan sumbangan BAKTI Malaysia.


Jumlah ini merupakan sebahagian daripada USD600,000.00 (RM2.7 juta) yang disalurkan oleh kedua-dua badan tersebut kepada pelarian Syria di Lubnan dan juga Jordan.


-- BERNAMA