Mokhzani Di Sebalik Tabir Orkestra RTM (Akhir Dua Bahagian)

Last update: 15/02/2016

Oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Maestro Orkestra Itali Carlo Maria Giulini pernah berkata, memimpin orkestra adalah seni yang misteri. Ada sesuatu yang magis berlaku di pentas yang tidak boleh diajar. "Saya tidak tahu apa yang saya lakukan di atas pentas," katanya.

Bagi Datuk Mokhzani Ismail, pengarah muzik RTM yang memimpin Orkestra RTM sejak 1999, cabaran beliau sebagai maestro adalah mewujudkan harmoni yang sempurna dalam setiap irama dan lagu yang dipersembahkan di atas pentas.

Dalam bahagian akhir temu bual dengan Bernama Lifestyle & Youth (LNY), anak kelahiran Perlis yang memiliki ijazah dari Kolej Muzik Berklee, Boston dalam bidang jazz piano dan orkestra pada 1990 ini, mengimbau pengalamannya sebagai konduktor Orkestra RTM dan pahit manis sejak memimpin orkestra milik kerajaan ini.

Soalan: Apakah tugas Datuk sebagai pengarah muzik RTM dan maestro Orkestra RTM?

Mokhzani: Tugas saya merangkumi segala-galanya. Orkestra RTM kini sudah berusia 54 tahun, orkestra yang tertua di Malaysia. Saya membesar dengan Orkestra RTM yang wujud sejak 1961 dengan nama-nama gah seperti Johari Salleh, Ahmad Merican, Ooi Yeow Jin, Gus Steyn, Alfonso Soliano yang merupakan legenda di tanah air.

Apabila saya memegang jawatan sebagai Pengarah Muzik RTM, masyarakat mengharapkan sesuatu yang sama tahap atau lebih. Mengemudi Orkestra RTM amat mencabar kerana ia bukan orkestra biasa. Ia milik rakyat dan orang ramai mahu melihat bagaimana perkembangannya dan sama ada relevan untuk masakini.

DULU DAN SEKARANG

Dulu yang ada hanya RTM, tak ada Astro dan TV3. Masyarakat terima sahaja apa yang disajikan. Sekarang, bagaimana Orkestra RTM boleh terus relevan kerana ia menerima persaingan dengan hiburan seperti program realiti Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak yang menarik ramai penonton.

Bagi kami, bagaimana nak menyedarkan masyarakat tentang perkara-perkara seperti muzik yang sihat, disiplin dalam orkestra, bagaimana muzik dapat menyatukan pelbagai ahli muzik dan pelbagai bangsa, 'chemistry' (keserasian) antara penggubah, pemuzik dan penyanyi. Tujuannya ialah supaya orkestra ini dapat dinikmati 10 atau 20 tahun akan datang.

Sudah tentu, bila masa berlalu, kita jadi senior. Oleh itu, saya perlu mengambil pemuzik baru dari universiti tempatan untuk berada di persada muzik tanah air. Kini, 80 peratus anak muda menganggotai Orkestra RTM. Saya lebih gemar di belakang tabir, sekali sekali jadi pemimpin orkestra, cipta dan gubah lagu.

Sehingga kini, Orkestra RTM sudahpun membuat persembahan di Festival Java Jazz di Jakarta pada 8 Mac. InsyaAllah, mungkin ke China nanti. Apabila tapak saya dah kuat, saya akan melebarkan sayap saya dengan membawa Orkestra RTM ke China.

Untuk menembusi pasaran muzik di sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di dunia bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi dalam bidang seni muzik piano, China tidak kurang dengan bakat-bakat bertaraf dunia. Bagaimanapun, kita turut berbangga dengan penyanyi Shila Hamzah yang berjaya menembusi pasaran China.

Bahasa Mandarin juga penting. Saya telah melantik pengurus dari Malaysia untuk perjalanan konsert saya di China. Jika tidak, saya terpaksa membawa jurubahasa. Orang Melayu tidak tahu berbahasa Mandarin, tetapi melalui muzik, ia mampu satukan masyarakat.

REHEARSAL ATAU KONSERT

Soalan: Yang mana diberatkan, rehearsal atau konsert?

Mokhzani: Kadang-kadang apa yang kita plan, tak jadi di atas pentas. Rehearsal tu penting. Bila ada siaran secara langsung, gagal atau tidak, itulah yang disajikan.

Sebagai pemimpin, saya memikul tanggung jawab yang amat berat.

Di atas pentas, semua pemuzik adalah profesional dan kita cuba elak kesilapan. Alhamdulillah kita dapat kawal kesilapan. Segala perkara perlu ada rehearsal. Mereka tahu tugas masing-masing.Bila melibatkan kamera, kita harus tahu rakyat yang menonton melalui kaca tv, seolah-olah di hadapan mereka.

Soalan: Pernah 'improvise' (menghasilkan sesuatu secara spontan)?

Mokhzani: Bila penyanyi buat kesilapan, kita tak boleh berhenti. Oleh itu, kita improvise. Kita perlu sentiasa 'alert' (bersedia).

Sebagai pemimpin, saya mengingatkan ahli muzik supaya berinteraksi di atas pentas, bukan seronok dan ingatkan glamour sahaja, tapi tanggung jawab mereka. Profesionalisme amat penting.

Soalan: Apa signifikannya kayu (baton) maestro?

Mokhzani: Kayu yang digunakan oleh maestro atau pemimpin orkestra bertujuan memberi arahan kepada pemuzik. Semasa persembahan, tangan boleh digunakan, tapi kayu lebih tepat dan pemuzik boleh nampak dari jauh.

Pemuzik pun tak boleh bercakap semasa persembahan.

Cara ini, pemimpin dapat mengawal satu orkestra, secara perlahan dan mengikut dinamik lagu yang ditulis oleh penggubah dan bagaimana nak corakkan persembahan. Konduktor akan menyatukan semua alat muzik.

Saya pentingkan disiplin dalam persembahan dan kita cuba latih seperti di luar negara.

Bukan itu sahaja, konduktor perlu mengekalkan komunikasi di antara pemuzik dengan penyanyi (dan penari) di atas pentas. 'Timing' (ketepatan masa) amat penting dalam persembahan orkestra.

MAESTRO ATAU PEMAIN PIANO

Soalan: Adakah konduktor perlu memainkan semua instrumen?

Mokhzani: Semasa di Berklee, saya belajar 8 instrumen asas. Sebagai penggubah, kita tak boleh menggubah lagu sekiranya kita tidak kenal alat dan mengenali character alat muzik. Di Boston, saya ambil clarinet sebagai alat samping.

Di sini, satu-satunya orkestra yang ada ialah Orkestra RTM dan kerjaya sebagai konduktor adalah pilihan saya untuk bertapak di RTM.

Soalan: Yang mana satu kerjaya yang Datuk mahu lebih dikenali - sebagai maestro atau pemain piano? Mokhzani: Saya suka kerjaya sebagai penggubah. Tapi, saya lebih gemar dan minat bermain piano dan ia adalah persembahan sampingan saya. Orang kenal saya sebagai pemain piano.

Saya dah buat kesemuanya sepanjang kerjaya saya - penggubah lagu, pemimpin dan bermain piano. Sebagai pengarah muzik, saya tak perlu memimpin orkestra, hanya atur sahaja persembahan, tetapi saya masih mahu turun padang. Kita perlu bersama mereka, kalau tidak, tidak ada inspirasi untuk mereka. Sekurang-kurangnya, mereka hormati kita. Saya lebih hands-on.

Soalan: Apakah yang paling bermakna bagi Datuk dalam tahun 2015?

Mokzani: Bagi saya, membuat persembahan Festival Java Jazz dengan membawa Orkestra RTM ke Jakarta merupakan satu kejayaan yang cemerlang.

(Sepanjang 11 tahun penganjuran festival muzik jazz terbesar di dunia itu, Orkestra RTM menjadi kumpulan orkestra pertama di Malaysia yang dijemput menyertai festival berkenaan sejak 2010).

Dan sudah tentunya mendapat tawaran sebagai Duta Piano Hagspiel dengan membuat persembahan di Tembok Besar China adalah nilai tambahan kepada kerjaya saya. Saya tidak menjangka dapat mengadakan konsert sendiri seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir.

Bila ke sana, poster terpampang gambar saya, maknanya saya rasa sudah berada di satu tempat orang hargai. Rakyat China hargai orang Malaysia. Selepas persembahan, para tetamu mengambil autograf, terasa pula macam artis.

CABARAN SEBAGAI PEMIMPIN ORKESTRA RTM

Soalan: Apakah cabaran sebagai pemimpin orkestra milik kerajaan?

Mokhzani: Mendidik masyarakat Malaysia, iaitu bagaimana kita membuat muzik yang kita suka dan rakyat suka. Mencari jalan tengah adalah satu cabaran. Kita perlu ikut minat sekarang. Dulu kita bagi mereka dengar, tetapi sekarang kita perlu buat apa yang mereka mahu dengar.

Kadang-kadang ada juga yang merosakkan persembahan.

Apa yang kita dengar di YouTube bukan semuanya bagus, tapi dapat sambutan masyarakat. Ada juga penyanyi yang popular di YouTube tidak boleh membuat persembahan live (secara langsung).

Kalau penyanyi tidak popular pun tidak diterima masyarakat. Kita perlu seimbang bila menjemput penyanyi untuk membuat persembahan dengan Orkestra RTM. RTM, stesen di bawah jabatan penyiaran, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), mendokong misi dan visi kerajaan memerintah.

Perlu juga seimbang dan lihat keberkesanan kepada penonton dan pendengar dan kita tidak boleh buat sesuka hati. Kalau ada program tetapi tidak ada penonton pun tidak bermakna.

Dan jika banyak penonton tetapi program tidak berkualiti, pun tidak bermakna, dan tidak sampai mesej yang nak disampaikan kepada masyarakat. Untuk melahirkan sesuatu yang berkualiti dengan menarik penonton yang banyak adalah satu cabaran.

Dari semasa ke semasa, kita perlu berfikir mengenainya. Di samping itu, penyanyi baru kita cari, tetapi yang lama tidak boleh dilupakan. Manakala pencipta dan penggubah lagu yang masih bagus perlu diberi peluang untuk melebarkan sayap kerjaya mereka.

PENGALAMAN PAHIT

Soalan: Bagaimana pula pengalaman pahit Datuk memimpin Orkestra RTM?

Mokhzani: Yang pahit apabila perlu memimpin orkestra yang suam-suam kuku...ada atau tidak ada pun tidak apa. Dulu ia orkes yang gagah, tidak ada saingan. Bila zaman dah sampai 80an, ia mendapat saingan hebat dari televisyen swasta, internet, YouTube, dsb. Ada yang bertanya, Ada lagi tak Orkestra RTM?

Saya diberi tanggung jawab 10 tahun lalu untuk menghidupkan dan mencari orang baru untuk Orkestra RTM. Sudah pastinya waktu itu, orang nak lihat sesuatu yang baru dan mereka tidak mahu melihat orang yang berusia 60 tahun bermain muzik.

Mencari anak muda yang berminat untuk menyertai orkestra kerajaan mengambil masa yang lama. Sebagai pegawai kerajaan, kita perlu akur kepada segala peraturan, seperti waktu bekerja, menghadiri kursus, dsb. Yang berumur 40 ke atas perlu kekalkan kualiti. Manakala, anggota orkestra perlu diberi motivasi untuk membuat penambahbaikan. Prestasi RTM perlu bertaraf dunia atau terbaik di Asia.

Saya pun pernah satu ketika dulu berpindah ke stesen swasta (1998) selepas menerima tawaran. Tapi, bila lihat RTM mempunyai perjalanan yang jauh, saya fikir dua tiga kali dan kembali berkhidmat semula. Alhamdulillah, kami sentiasa mendapat jemputan untuk membuat persembahan seperti di Istana Negara dan semasa lawatan Presiden Barack Obama dan Putera Raja England dan isterinya Kate Middleton melawat Malaysia.

KONSERT LAGU UNTUKMU

Soalan: Bagaimana sambutan terhadap Konsert Orkestra RTM Lagu Untukmu?

Mokhzani: Konsert yang dianjurkan pada 15 Disember dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia itu bertujuan mengumpul derma bagi membantu pengarah muzik terkenal era 80an dan 90an Datuk Ooi Eow Jin menerima rawatan lebih sempurna untuk penyakit Alzheimer yang dihadapi beliau.

Secara kebetulan, Eow Jin pernah memberi CD yang dimuatkan 25 lagunya. Ini membantu saya membuat konsert tribute untuk beliau. Alhamdulillah, konsert yang diterbitkan oleh Shida Ali, mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.

Memang sukar untuk mengadakan konsert untuk pemuzik di belakang tabir. Itu masalah awal yang saya hadapi dan pada masa yang sama, saya berhasrat membuat kutipan untuk beliau. Alhamdulillah, konsert ini berjaya dan saya dapat lakukan dengan kerjasama Karyawan, dan dalam masa dua bulan, kami mengutip RM50,000. Saya bangga dapat membantu tokoh bukan Melayu yang banyak mencipta lagu Melayu.

Soalan: Apakah projek terdekat Datuk bagi membuka tirai 2016?

Mokhzani: Saya membuka tirai 2016 dengan Konsert diRaja Perak pada 9 Januari di Ipoh sempena perasmian Kompleks Sultan Nazrin Shah. Saya juga turut mengatur pelbagai konsert yang menggabungkan penglibatan radio dan televisyen RTM, Bitang RTM dan Bintang Kecil.

PUPUK CITA-CITA SEJAK KECIL

Soalan: Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada mereka yang ingin menjejaki langkah Datuk sebagai pemimpin orkestra?

Mokhzani: Ini adalah kerjaya profesional. Setakat ini 7 universiti menawarkan kursus muzik sehingga PhD. Mana hulu tujunya, ia agak terhad berbanding farmasi. Pemuzik berpusat di ibu kota. Selain Orkestra RTM, terdapat juga orkestra lain seperti Orkestra Seni Kebangsaan, Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Filharmonik Malaysia dan Orkestra Bandaraya Kuala Lumpur.

Setiap tahun, banyak graduan yang keluar bekerja dan mereka perlu bersaing untuk menjadi yang terbaik. Jangan pilih kerja untuk bertapak dan dalam keadaan sekarang. Hanya yang terbaik mendapat tempat.

Tak ramai pelajar universiti yang memilih bidang muzik kerana mereka beranggapan ia tidak menjamin masa depan. Mereka memilih untuk menjadi jurutera, doktor dan peguam. Kadang-kadang mereka yang 'dropouts' (pelajar cicir) berminat dalam bidang muzik.

Mereka suka bermain guitar kerana tidak tahu apa nak buat. Bidang muzik dilihat seperti sesuatu yang tidak serius. Yang masuk belajar muzik tidak mempunyai asas, terutama orang Melayu. Ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk bermain piano. Mereka tidak belajar muzik semasa kecil dan ini menimbulkan masalah dari segi kualiti.

Dalam 10, hanya satu sahaja yang terbaik. Kalau nak serius dalam bidang ini, mereka perlu belajar sejak kecil lagi. Saya belajar bermain piano sejak 8 tahun, dan konsisten sehingga saya dewasa. Saya juga tanam semangat dan cita-cita untuk memasuki dan memimpin Orkestra RTM sejak berusia 9 hingga 10 tahun.

Waktu itu, Datuk Johari Salleh memimpin Orkestra RTM, dan itupun orkestra yang ada.

Saya memulakan kerjaya sebagai guru, tetapi memilih bidang muzik setelah mendapat tawaran dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan melanjutkan pelajaran ke Berklee pada 1990.

Saya tidak terikat dengan syarat-syarat mengajar dan diberi pelepasan oleh MRSM sekembalinya saya ke tanah air. Ini memudahkan saya memohon dan menerima tawaran bekerja di RTM pada tahun yang sama.

Bagi anak-anak yang berminat, teruskanlah. Ibu bapa juga perlu melipatgandakan usaha bagi memenuhi impian anak-anak mereka. Bidang muzik boleh membuatkan kita patah semangat. Kawan-kawan dan keluarga pun menganggap bidang ini tidak boleh menjamin masa depan. Apa yang penting, kita perlu ada matlamat yang nak dicapai. Perlu ada perancangan.

CIRI-CIRI PEMIMPIN

Soalan: Apakah ciri-ciri pemimpin orkestra?

Mokhzani: Di Barat, lagu Beethoven dah beratus-ratus tahun tidak berubah. Pemimpin perlu tahu orkestra yang dipimpin. Di Malaysia, pemimpin boleh gubah lagu, memimpin dan main alat-alat muzik. Dari masa ke masa, kita perlu gubah lagu ikut selera masyarakat tetapi yang penting, kita boleh nikmati satu muzik orkestra yang sihat.

Bagi saya, apa yang penting, kita ada bakat, telinga yang bagus, yang peka dan tahu bila pemuzik lain buat silap.

Pemimpin adalah tonggak orkestra, idola, ikutan dan contoh bagi pemuzik lain, terbaik dari ahli-ahli muzik yang ada. Tidak semua akan berjaya sebagai konduktor, ada yang pilih jadi ahli muzik sahaja. Pemimpin perlu memiliki kesabaran tahap tinggi dan bagaimana hendak menghadapi situasi yang pelbagai.

-- BERNAMA