Hadiah Siti Fairuz Kepada Peminat

Last update: 12/02/2016

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Penyanyi Siti Fairuz yang popular dengan lagu 'Bila Rindu Ku Sebut Namamu' pada tahun 1987, bakal menemui peminatnya menerusi kemunculan album ketiga selepas menyepi hampir 28 tahun.


Album berkonsepkan ketuhanan itu bakal menemui peminat selewat-lewatnya Mac ini yang memuatkan dua lagu berjudul 'Mengapa Tak Setia' dan 'Tiada Penghujung Sinar', ciptaan komposer Mat Din dan Hang Mokhtar.


"Lagu ini adalah hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong saya daripada dulu sampai sekarang," kata Siti Fairuz, 52, atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed kepada Bernama di sini.


Siti Fairuz berkata lagu baharu berentak Arab itu akan menjadi pencetus semangat kepada mereka yang pernah gagal agar tidak berputus asa.


Album baharu tersebut akan dikeluarkan dalam bentuk cakera padat dan selain bakal dimuat naik di YouTube, katanya.


Kali terakhir ibu kepada lima cahaya mata ini menghasilkan album adalah pada tahun 1988.


Lagu 'Bila Rindu Ku Sebut Namamu' pernah menjadi juara pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-3 pada 1988.


"Saya sebagai penyanyi ada juga rasa nak bawa lagu-lagu lain tapi kalau bawa lagu lain, orang tetap minta suruh bawa lagu itu juga. Kadang-kadang tertanya di mana kekuatan lagu itu sampai orang suka sangat," katanya.


-- BERNAMA