'Swedish Meatball' Air Tangan Siti Nurhaliza Sempena Ulangtahun Sitizone Ke-12

Last update: 11/02/2016

Oleh Muhammad Zaini Mohd Zin


PORT DICKSON, 11 Februari (Bernama) -- Seramai 200 orang peminat tegar penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza menyertai majlis perjumpaan dan sambutan ulangtahun Sitizone yang ke-12 selama tiga hari dua malam di Primaland Port Dickson Resort and Convention Centre (PRCC), Negeri Sembilan baru-baru ini.


"Alhamdulillah, majlis perjumpaan yang sangat istimewa dan saya sangat gembira kerana walaupun dalam masa yang singkat sillaturahim antara kami semakin erat dan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa memahami saya," kata Siti Nurhaliza.


Majlis perjumpaan yang bermula pada 29 hingga 31 Januari ini diuruskan oleh Rozi Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama Rozi Sang Dewi merangkap pengurus peribadi Siti Nurhaliza dan Chedd Eddie Yusoff sebagai pengacara majlis sepanjang majlis berlangsung.


Acara tahunan ini sering diadakan pada bulan Januari bersamaan sambutan bulan kelahiran penyanyi itu dan buat julung kalinya telah diadakan di luar Kuala Lumpur yang bertemakan 'Survivor'.


Peminat yang hadir pada majlis perjumpaan ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang dan terdapat juga peminat yang datang dari luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei, membuktikan bahawa Datuk Siti Nurhaliza bukan sahaja diminati oleh rakyat Malaysia.


Pelbagai aktiviti permainan yang menarik telah diadakan bagi mengeratkan jalinan persahabatan di antara Sitizoners seperti Charlie Chaplin, lontar plastik dalam baldi, lipatan origami, Phua Chu Kang, Tube Race, Apek dan Marjina, Tempayan Bocor dan banyak lagi aktiviti yang mencuit hati dan yang lebih mengujakan apabila Siti Nurhaliza turut sama menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.


Sejumlah 14 buah kumpulan keseluruhan dan setiap nama kumpulan merupakan nama bagi setiap album penyanyi itu seperti Emas, Cindai, Transkripsi, Hadiah Dari Hati, Lentera Timur, Pancawarna, Tahajud Cinta dan juga termasuk kumpulan Siti Nurhaliza Production.


Selain itu, majlis perjumpaan ini lebih bermakna bagi para peminat penyanyi kesayangan semua ini apabila mereka dapat merasai air tangan Siti memasak hidangan 'Swedish Meatbal' menggunakan resepi tersendiri semasa minum petang pada majlis tersebut.


Pada malam kedua yang juga merupakan malam gala bertemakan 'Flora' kelihatan semua 'Sitizoners' bersemangat mengenakan busana yang bertemakan bunga. Dua acara kemuncak diadakan iaitu pertandingan karaoke dan pencarian peminat unggul yang mampu menjawab semua soalan tentang Datuk Siti dengan tepat.


Terdapat juga kejutan oleh pihak hotel Primaland dan juga pelakon Azlee Senario yang menyamar sebagai Chef membawa sebuah kek hari jadi sempena menyambut sambutan hari lahir Siti Nurhaliza. Peminat yang lahir pada bulan Januari turut diraikan bersama-sama penyanyi itu dan berpeluang memotong kek di atas pentas.


Tidak lengkap jika tiada persembahan nyanyian dari Siti Nurhaliza yang membawakan beberapa rangkaian lagu seperti Sinaran, Senja Nan Merah dan Seindah Biasa. Beliau turut mengundang abangnya Ayie, Saida (kakak) dan ibunya Siti Salmah Bachik serta ibu saudaranya untuk turut sama berduet menghangatkan suasana malam tersebut.


Hari ketiga, sebelum sarapan pagi di Prima Kitchen, semua yang hadir turut sama menyertai aktiviti senaman dan juga Zumba yang turut disertai oleh Siti Nurhaliza dan sebelum berangkat pulang majlis penyerahan hadiah keseluruhan dan juga cabutan bertuah diadakan.


Majlis anjuran Siti Nurhaliza Productions ini juga turut mendapat tajaan hadiah menarik daripada SimplySiti, Universal Music Malaysia, Ram Reza Muhammad, Minaz, Forest Colour, Menara Kuala Lumpur, Sepang Circuit, Rizman Ruzaini, Salihin, Nurzamrich Trading, Tautan Hati, Sajen Earth Drink, Natasya Atiqa, Fazlia Trading dan N.E.S Cookies.


-- BERNAMA