Hajat Datuk Siti Nurhaliza Menjadi Kenyataan

Last update: 17/11/2015

Oleh Muhammad Zaini Mohd Zin


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Hajat Datuk Siti Nurhaliza untuk berkongsi pentas bersama Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang tercapai apabila mereka bertiga beradu suara di dalam Konsert Satu Suara Volume 2 di pentas Istana Budaya baru-baru ini.


"Siti rasa sangat gembira dan berpuas hati dengan sambutan daripada peminat kerana pada malam pertama jualan tiket 'sold out' dan yang paling penting semua dapat membuat persembahan dengan lancar," kata Siti.


Konsert Satu Suara Volume 2 adalah sebagai ganti untuk konsert muzikal Siti yang menceritakan perihal perjalanan kehidupan seni Datuk Siti Nurhaliza sebagai anak seni namun, terpaksa ditunda di atas sebab-sebab tertentu.


"Siti bersyukur apabila tidak dapat membuat konsert muzikal tetapi dapat buat konsert yang lebih baik untuk Siti gantikan bersama dua orang legenda dari dua buah negara," tambah beliau.


Ketiga-tiga penyanyi ini mempunyai keistimewaan dan tarikan masing-masing terutama dari segi vokal yang memukau para peminat selama dua jam konsert berlangsung. "Siti boleh dengar respon dari peminat. Mereka sangat terhibur dan lebih santai dan Siti akui Siti dapat 'energy' yang lebih dari ibu Hetty dan Datuk Ramli Sarip," katanya.


KOLABORASI


Menurut Siti, beliau bersyukur apabila diberi kesempatan untuk bergabung bersama dua 'living legend' yang beliau minati sejak dari kecil. "Alhamdulillah Siti rasa bersyukur apabila ibu Hetty dan Datuk Ramli Sarip bersetuju untuk turut sama dan Siti dapat membayangkan satu konsert yang 'happening' dan ianya sudah menjadi kenyataan.


"Sebagai anak seni Siti ingin menghargai insan-insan seni yang telah banyak berjasa kepada industri muzik dan lebih-lebih lagi mereka adalah 'living legend' yang Siti rasa sampai saat dan ketika ini mereka masih mampu untuk membuat persembahan yang hebat," kata Siti.


Bagi beliau, tiada pertandingan siapa yang lebih hebat antara mereka bertiga di atas pentas kerana setiap dari mereka mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan dan menghiburkan para peminat dengan cara masing-masing. "Bagi Siti tidak ada pertandingan di antara kami tetapi ia adalah bagaimana setiap dari kami untuk ekspresi cara nyanyian masing-masing terhadap lagu yang disampaikan kepada penonton.


"Aura dari ibu Hetty dan Datuk Ramli Sarip sedikit sebanyak mempengaruhi tenaga Siti pada malam ini untuk turut sama bertenaga seperti mereka walaupun dengan cara Siti sendiri," kata Siti apabila ditanya mengenai tenaga luar biasa yang dipersembahkan pada malam tersebut. Menurut Siti lagi, pada awalnya mereka mempunyai sebuah lagu baharu yang ingin dipersembahkan pada malam konsert tersebut.


"Kalau ikutkan Siti, idea pada awalnya memang ada satu lagu kolaborasi antara kami bertiga, tapi oleh kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan ia tidak jadi namun oleh kerana Siti melihat sambutan pada malam ini permulaan yang baik, Insyaallah ia akan dipertimbangkan," kata Siti.


PERSEDIAAN


Pemilihan lagu duet dan trio antara Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang dibuat melalui perbincangan antara mereka bertiga. "Bila Siti nak pilih lagu untuk konsert ini, Siti kena bayangkan dahulu macamana kalau Datuk Ramli Sarip dan ibu Hetty menyanyikan lagu tersebut.


"Siti 'study' bagaimana muzik Datuk Ramli Sarip yang berunsurkan ketuhanan dan lagu Dialah Di Hati sangat sesuai untuk kami bawakan pada konsert ini," komen Siti mengenai segmen duet beliau bersama Datuk Ramli Sarip.


Konsert ini merupakan kesinambungan daripada Konsert Satu Suara yang pernah dianjurkan oleh pihak Siti Nurhaliza Production (SNP) Sdn Bhd pada tahun 2010 menampilkan Aizat dan Faizal Tahir.


Menurut penyanyi ini lagi, Konsert Satu Suara bakal diberi penjenamaan dan beliau akan memilih kualiti dan tarikan seseorang artis itu untuk menjadi artis undangan pada konsert yang akan datang sebagai salah satu syarat untuk berkolaborasi bersama.


"Untuk konsert yang akan datang Siti akan menjemput artis baru dan 'living legend' yang mempunyai tarikan dan kualiti. Siti pilih dua benda ini yang paling penting," katanya. Selain itu, ada juga penganjur dari luar negara yang berminat untuk membawa mereka bertiga ke negara masing-masing untuk berkolaborasi bersama.


"Ada juga penganjur dari Singapura dan Indonesia yang berminat untuk membawa kami ke negara masing-masing cuma masih belum tahu lagi.


-- BERNAMA