Elfee dan Hady Lancar Album Bahasa. Hati. Cinta. Kita.

Last update: 16/11/2015

Oleh Farhana Rafiee


KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Bahasa. Hati. Cinta. Kita. sebuah album studio, The Level Music Network yang dilancarkan baru-baru ini dengan gabungan penyanyi baru, Elfee Hefny dan Hady Rahim.


Pelancaran album yang diadakan di Neway K @ One Utama, turut dihadiri Pengerusi Zita Event Management, Datuk Paduka Redzuan Md. Nor selaku perasmi majlis pelancaran album Bahasa. Hati. Cinta. Kita..


Majlis pelancaran album ini turut bertujuan memperkenalkan Elfee Hefny dan Hady Rahim yang masing-masing ingin mengembangkan bakat nyanyian ke peringkat lebih tinggi.


"Majlis ini sememangnya menjadi platform untuk kami lebih dikenali dan dihargai oleh pencinta muzik tanah air dan sekaligus lebih membuka ruang kepada kami untuk diterima ramai," kata penyanyi 'Aku Untukmu', Hady Rahim yang ditemui dalam sidang media baru-baru ini.


Hady yang merupakan pemenang tempat ketiga dalam sebuah program TV anjuran bersama Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) dan Siti Nurhaliza Production pada tahun 2013 telah menghasilkan lagu 'Erti Kosong' bersama komposer, Aiman.


Pada awal tahun ini, Elfee sudah pun melancarkan single yang berjudul 'Kesedihan Ini' dan 'Gitarku Pianomu' dan kini berkolaborasi dengan Hady dalam penghasilan album ini.


Album ini turut memuatkan 'Ratu Novella' yang dinyanyikan duet oleh Elfee dan Hady selain tujuh buah lagu lain.


Kedua-duanya berharap suatu hari nanti mereka dapat menghasilkan album solo masing-masing disamping dapat bergiat lebih aktif dalam bidang nyanyian.


-- BERNAMA