Pengarah Filem Terkenal Osman Ali Tidak Kejar Anugerah

Last update: 04/11/2015

Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah


KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Osman Ali, pengarah filem terkenal kelahiran Langkawi ini memulakan kerjaya dalam industri perfileman dek kerana dorongan serta minat yang mendalam sejak dari kecil.

Terpengaruh dengan naskah-naskah nusantara seperti karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, filem daripada negara Thailand dan Indonesia, Osman Ali yang berjiwa seni mula berjinak-jinak menulis skrip semasa di bangku sekolah lagi dan menjadikan rakan-rakannya sebagai 'juri' untuk setiap helaian skrip yang dihasilkannya.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur setelah menamatkan pengajian, Osman Ali berpeluang berkenalan dengan mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang perfileman.

Tawaran mengikuti pengajian di Akademi Filem Malaysia dalam bidang pengarahan umpama orang yang mengantuk disorongkan bantal.

Di Akademi ini, Osman Ali berkenalan dengan orang-orang yang berpengalaman dalam industri filem dan sekali gus dapat belajar mengenali bidang perfileman secara lebih serius dan mendalam.

BUKAK API, FILEM PERTAMA

"Sejujurnya saya tidak pernah terfikir jadi pengarah sebab merasakan saya tidak layak kerana saya berasal dari kampung tetapi untuk tulis skrip saya rasa saya boleh," katanya kepada BERNAMA dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.

Menurut Osman Ali, beliau mendapat platform awal untuk berkembang dalam bidang filem apabila mendapat tawaran daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk mengarahkan filem Bukak Api iaitu kisah mengenai kehidupan di lorong-lorong yang melibatkan aktiviti pelacuran dan penagihan dadah.

Filem Bukak Api telah berjaya ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa antaranya Torino Film Festival, Shanghai Film Festival, dan Egypt Film Festival. Kejayaan ini telah memberi peluang kepada Osman Ali untuk lebih dikenali dalam industri perfileman.

Bakat dan kemampuan beliau dalam mengarah filem telah meyakinkan Finas untuk menganugerahkan geran kepada beliau bagi menghasilkan filem keduanya iaitu Malaikat Di Jendela. Filem tersebut juga mencipta kenangan manis apabila mendapat jemputan untuk ditayangkan di Cannes Film Festival.

"Saya kira itu satu pencapaian kerana bukan senang untuk filem tempatan mendapat jemputan untuk ditayangkan pada festival filem yang berprestij seperti itu.

Cannes Film festival merupakan festival filem antarabangsa berprestij yang menayangkan filem-filem baharu dalam semua genre termasuklah dokumentari dari seluruh dunia.

TIDAK MUDAH PUTUS ASA

Seterusnya Osman mendapat peluang untuk melibatkan diri secara lebih aktif dan serius ke dalam dunia pengarahan filem dan sehingga kini dapat menghasilkan beberapa filem untuk pasaran wayang gambar Malaysia seperti Puaka Tebing Biru, Anak Halal, Cun, Sejoli, Ombak Rindu dan karya terbaharu Jwanita.

Meskipun kini beliau telah menjadi pengarah yang terkenal dan berjaya, Osman mengakui pada awal penglibatan beliau menjadi pengkarya dalam industri filem beliau pernah merasa rendah diri.

"Memang terdapat suara-suara yang cuba mematahkan semangat tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya saya berterima kasih kepada mereka yang pernah memandang rendah terhadap saya kerana itu telah menjadi inspirasi untuk berjaya dan memperbaiki diri," katanya.

Menurut Osman Ali, berada dalam industri yang tidak konsisten menyebabkan beliau perlu menjadi seorang yang kuat untuk berdepan dengan pelbagai jenis ragam dan asam garam.

"Menjadi orang yang baharu dalam industri pada permulaannya bukan sesuatu yang mudah kerana setiap kali hendak mengejar impian mesti ada perkara yang akan menjadi penghalang dan cuba untuk mematahkan impian tersebut.

"Masih terdapat budaya cantas-mencantas dalam industri ini, tetapi saya menganggap itu bukan ditakdirkan untuk menjadi rezeki saya dan saya teruskan berusaha," ujar beliau.

TIDAK KEJAR ANUGERAH

Mungkin bagi kebanyakan orang, penghargaan dan anugerah itu sesuatu yang didambakan namun tidak bagi pengarah filem Pilot Cafe ini.

Walaupun pernah diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik melalui Filem Cun semasa Anugerah Skrin 2011, Osman Ali tidak pernah menjadikan sesuatu anugerah tersebut sebagai asbab untuk lupa diri.

"Apabila saya menghasilkan sesebuah filem, saya tidak mengharapkan kemenangan atau anugerah. Niat utama ialah untuk menghasilkan filem yang berkualiti, menghiburkan dan dalam masa yang sama masyarakat menghargai filem tersebut," katanya yang memiliki syarikat produksi sendiri iaitu Nuansa Sdn Bhd.

Namun pengarah ini tidak menafikan anugerah atau kemenangan merupakan satu bonus dan lonjakan motivasi untuk menghasilkan sesuatu dalam konsep yang berbeza supaya penonton dapat menghargai naskah yang dihasilkan walaupun dalam genre yang berbeza.

"Saya bersyukur orang lain nampak hasil kerja kita tetapi saya tidak mahu menjadikan anugerah tersebut menyebabkan kita lupa diri dan menjadi kekangan untuk berkarya sehingga memaksa diri kita pada tahap yang tidak terkawal," katanya.

INDUSTRI FILEM MALAYSIA SURAM?

Apabila ditanya mengenai industri filem Malaysia, Osman Ali berkata Industri Filem Malaysia berada pada tahap tidak konsisten. Ada suatu ketika sangat meriah, ada suatu ketika menurun, ada suatu ketika seperti hambar dan kemudian meriah kembali. Menurutnya, pada peringkat awal menghasilkan filem, beliau sangat tertekan dengan kehendak pihak - pihak yang inginkan filem yang pecah panggung.

"Saya hendak buat filem, tetapi saya tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan filem yang box office jadi saya cuba menghasilkan filem ikut kemampuan saya. Apabila saya menghasilkan Puaka Tebing Biru dengan kutipan sejuta lebih, saya rasa Alhamdulillah tetapi sebagai produksi tentulah tidak mencukupi.

"Saya cuba sekali lagi melalui Anak Halal dan filem tersebut mendapat sambutan dan apabila sampai filem Cun kutipan jadi rendah balik sehinggalah saya menghasilkan filem Ombak Rindu. Filem tersebut telah mencetuskan satu fenomena dan sesuatu yang tidak dijangka," katanya yang turut menggemari naskah Ombak Rindu karya penulis terkenal Fauziah Ashari.

Osman Ali berkata, pada masa itu industri filem Malaysia menjadi sangat meriah lebih-lebih lagi apabila ada filem mencatatkan jumlah kutipan luar biasa contohnya KL Gangster berjaya mengutip RM12 juta, Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM8 juta) dan Ombak rindu berjaya mencatatkan kutipan RM11 juta.

Namun selepas itu, menurut beliau industri filem Malaysia kembali suram lebih-lebih lagi apabila terdapat ada filem disabotaj dan dicetak rompak sehingga memberi kesan kepada jumlah kutipan filem tersebut. Insiden ini umpama tragedi kepada industri filem.

Namun beliau percaya dengan kemunculan filem seperti Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar dan Jwanita mampu mengembalikan aura dan kegemilangan industri filem Malaysia.

"Saya percaya filem-filem tersebut mampu memanggil kembali penonton ke pawagam meskipun dalam keadaan industri filem yang agak perlahan.

Kami perlukan sokongan daripada penonton dan dalam masa yang sama kami perlu menghasilkan sesuatu yang istimewa kepada penonton," katanya yang percaya penonton sentiasa mahukan sesuatu yang berbeza dan berkualiti.

JWANITA NASKAH BERJAYA

Menceritakan sejarah pembikinan buah tangan terbaharunya Jwanita, Osman Ali berkata pada asalnya beliau mengimpikan untuk membuat filem Munajat Kekasih iaitu sebuah filem Islamik dan kisah cinta yang tragis dilakonkan oleh Maya Karin dan Aaron Aziz sebagai hadiah kepada peminat filem Ombak Rindu.

Namun filem tersebut tidak dapat direalisasikan kerana kekangan kos dan penerbit meminta untuk menghasilkan sebuah filem genre seram yang menggunakan kos yang kecil tetapi masih mengekalkan pelakon utama Maya Karin.

Justeru atas permintaan penerbit, Osman Ali telah telah mengolah dan menggabungkan koleksi-koleksi skrip cerita seram yang dimiliki sehinggalah berjaya menghasilkan satu jalan cerita yang mantap untuk filem Jwanita.

Mengulas mengenai pemilihan Maya Karin sebagai pemegang watak utama, Osman Ali berkata filem ini sebagai memberi cabaran kepada Maya Karin di samping memberikan kelainan kepada penonton.

Berdasarkan maklum balas daripada penonton, watak Jwanita yang dilakonkan Maya Karin digemari oleh penonton walaupun Jwanita ialah watak antagonis. Lakonan mantap Maya Karin dan barisan pelakon lain serta jalan cerita yang seram menjadikan Jwanita turut hangat diperkatakan di media-media sosial dan telah berjaya berada dalam carta filem 10 teratas semasa ditayangkan.

"Saya gembira dengan respons daripada penonton. Jwanita filem yang paling sukar selepas Anak Halal kerana ianya sarat dengan permainan emosi, genre seram dan banyak penggambaran dilakukan waktu malam serta bajet yang terhad. Namun saya rasa berbaloi dengan apa yang diusahakan," ujar Osman Ali yang percaya setiap filem yang dihasilkan sentiasa ada ruang untuk menjadikannya lebih baik.

IMPAK NEGATIF TAYANGAN FILEM SERENTAK

Menyedari hakikat bahawa penonton filem Melayu yang tidak ramai ditambah kewujudan sesetengah golongan penonton yang hanya mensasarkan untuk menonton filem tertentu sahaja disebabkan harga tiket, Osman Ali berkata tayangan filem serentak akan memberi kesan kepada kutipan filem-filem tertentu.

"Tayangan filem serentak akan memberikan persaingan, tetapi dalam persaingan pasti ada yang kecundang.

Untuk mengatasi situasi ini, mungkin lebih baik menyusun filem. Jangan menyusun filem yang bajet kecil dan kurang tarikan komersial sekali dengan filem bajet besar," kata beliau.

Menurut Osman Ali, sekiranya susunan filem ini dapat dipertimbangkan pasti sesebuah filem itu mendapat peluang lebih baik untuk dipromosi dengan lebih luas.

"Harapan saya agar rakyat Malaysia memberikan seratus peratus sokongan kepada industri filem tempatan.

Budaya menonton filem di pawagam adalah satu perkara yang menarik dan kita mahu industri filem ini berkembang dan terus hidup," tambah beliau lagi sambil mengharapkan penonton terus menyokong filem arahannya yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Selepas Jwanita, Osman Ali berdebar menunggu filem Sinaran ditayangkan pada November ini. Filem ini merupakan filem arahannya yang pertama menggabungkan pelakon tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Sinaran merupakan filem muzikal bergenre santai yang dilakonkan oleh Izara Aisyah, Lisa Surihani, Evan Sanders (pelakon Indonesia) Syarif Sleeq dan Nadia Md. Din (pelakon Singapura) dengan penampilan istimewa Datuk Sheila Majid.

Selain Sinaran, dua buah lagi filem arahan beliau akan menemui penonton iaitu Langit Cinta dan Kau Yang Satu.

--BERNAMA