Fass Production Diberi Hak Eksklusif Promosi 'Lurking Woods'

Last update: 01/09/2015

Oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Fass Production Sdn Bhd, syarikat produksi filem Malaysia, telah memperoleh hak eksklusif untuk mempromosi filem 'Lurking Woods', di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Syarikat tersebut yang diberi hak promosi, penajaan dan tayangan perdana di ketiga-tiga negara oleh Rodman Pictures Pty Ltd - syarikat perfileman yang dimiliki anak Pulau Pinang, Rod Manikam - kini sedang memperhebatkan promosi bagi filem tersebut di Malaysia.

Filem yang berlanskapkan bumi Australia Barat dengan para pelakon sepenuhnya dari negara kangaroo ini, diarah oleh pengarah muda berbakat besar, Rizal Halim, 44, yang berasal dari Batu Gajah, Perak.

"Saya amat berbangga kerana syarikat saya terpilih mengendalikan promosi filem Lurking Woods. Bukan sahaja dari segi promosi filem, ia dapat memberi ruang kepada pengarah muda ini untuk lebih maju dan langkah ke hadapan," Pengerusi Fass, Datuk Alias Harun memberitahu Bernama Lifestyle and Youth (LnY) baru-baru ini.

Lurking Woods adalah filem 'suspense thriller' berdurasi 80 minit yang mengisahkan enam sahabat karib menghabiskan percutian 'reunion' di kawasan hutan pendalaman dan menganjurkan permainan 'sembunyi dan jumpa' tanpa mengetahui seorang pembunuh turut terlibat dalam permainan mereka. Erti persahabatan mereka teruji apabila masing-masing bergelut menyelamatkan nyawa daripada dibunuh pembunuh bermisteri itu.

MENEMPA NAMA DI AUSTRALIA

Lebih kurang 14 orang pelakon terlibat dalam 'Lurking Woods' dengan empat pelakon utama lelaki dan tiga pelakon utama wanita. Lokasi penggambaran di sekitar kawasan ladang hampir 500 ekar di Perth.

"Saya turut berbangga dengan kejayaan Rizal Halim, pengarah Melayu, yang menempa nama di Australia. Maka di situ ada ruang untuk anak tempatan menembusi bidang perfileman di peringkat antarabangsa. Bukan sahaja sebagai pengarah, beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi produser filem," kata Alias.

Sehingga kini, Fass Production telah memulakan program promosi dengan mengadakan sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini, katanya.

"Syarikat kini mengatur program bagi mengadakan tayangan perdana di Pulau Pinang (13 Okt), Ipoh (16 Okt), Kota Kinabalu (20 Okt) dan Kuala Lumpur (23 Okt). Tayangan perdana ini melibatkan orang kenamaan. Saya akan dapatkan penaja syarikat besar," katanya.

"Filem ini menarik kerana ia berkonsepkan 1Malaysia - filem ini ditunjang oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Konsep inilah yang membuatkan saya teruja untuk mengendalikan promosi filem ini," kata Alias.

TULANG BELAKANG

Tulang belakang di sebalik tabir penerbitan 'Lurking Woods' adalah penerbitnya Rod Manikam yang berasal dari Pulau Pinang; penerbit eksekutif Ong Teng Boon yang berasal dari Taiping, Jag Pannu yang berasal dari Ipoh, pengarah dan penerbit bersekutu Rizal Halim yang berasal dari Batu Gajah, Perak, Toh Muda Azman Yeop Jr dari Taiping, juga penerbit bersekutu. Skrip dan lakon layar mendapat sentuhan Desmond Hew yang berasal dari Kuala Lumpur.

Dari Perth, penerbit eksekutif ialah Rowan Scott manakala penerbit bersama Darryl Westrup.

"Kita mulakan program promosi di Malaysia dahulu. Selepas itu, saya akan dibawa ke Australia dan diperkenalkan kepada team di sana dan digabungan untuk promosi antarabangsa, insyaAllah," kata Alias.

"Saya sarankan kepada penonton supaya menilai kualiti filem yang diarah oleh anak Melayu ini. Harap rakyat Malaysia dapat memberi sambutan dan sokongan kepada industri kita dan menyokong filem-filem keluaran anak tempatan di masa akan datang."

Berikutan dari pelancaran filem Lurking Woods, syarikat Fass dijangka mengendalikan program promosi bagi filem keluaran Rodman Pictures seterusnya yang diarah oleh Rizal, di mana 70 peratus penggambaran dilakukan di Australia, dan bakinya di Malaysia.

JENAMA MALAYSIA

Filem ini juga berjaya mengangkat martabat dan jenama Malaysia di peringkat global, kata Fass dalam satu kenyataan.

Kejayaan Rizal dalam mengarahkan 'Lurking Woods' dalam 9 hari penggambaran merupakan satu rekod pencapaian peribadi yang teristimewa kerana tiada produksi filem cereka di Australia yang menjalani penggambaran kurang daripada 9 hari, katanya.

Bidang perfileman memang menjadi impian Rizal sejak kecil lagi sehingga tamat persekolahan beliau berkecimpung dalam bidang peragaan, lakonan, penulisan skrip, penyuntingan dan pengarahan filem.

Beliau telah mengikuti banyak kursus di dalam dan luar negara berkaitan industri perfileman bagi menambah ilmu serta memantapkan diri. Rizal merupakan bekasa juara karate do dan sebagai pelakon/stuntman dalam filem Hollywood "Beyond Rangoon" 1994, filem Hong Kong Police Story 2 1995 aranah Jackie Chan, filem Hollywood 'Anna & The King' 1998 dan banyak lagi.

Sementara itu, Rod Manikam mengalu-alukan penyertaan orang perseorangan dan syarikat dari Malaysia yang ingin bekerjasama dalam penerbitan filem-filem akan datang.

Lurking Woods kini dalam proses penyuntingan di studio Perth. Runut bunyi filem akan dibuat di Zurich, Switzerland. Filem ini djangka memasuki panggung wayang untuk tayangan perdana pada Oktober.

--BERNAMA