Norizman Sifatkan Kejayaan Muncul Juara Pusingan Keempat ARRC Hadiah Hari Kebangsaan 2015

Last update: 31/08/2015

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pelumba cub prix negara, Norizman Ismail menyifatkan kejayaan memenangi kategori Underbone 130cc pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM di Thailand, semalam sebagai hadiah bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 hari ini.



Pelumba pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu berkata kejayaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand itu amat bermakna untuk dirinya serta pasukan berkenaan.



"Dengan pelbagai cabaran dihadapi negara ketika ini terutama dari segi ekonomi dan politik, kemenangan ini saya hadiahkan khas buat Malaysia," kata Norizman dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan, hari ini.



Pelumba berusia 30 tahun itu menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 17 minit 37.225 saat, untuk menewaskan pemenang perlumbaan pertama, Gupita Kresna Wardhana dari Indonesia yang mewakili pasukan Manual Tech KYT Rextor, yang ketinggalan 0.188 saat di belakang.



Kejayaan itu menyaksikan Norizman merapatkan jurang kepada 33 mata, ke atas Gupita yang masih mendahului kedudukan teratas kategori Underbone 130cc menerusi kutipan 151 mata selepas empat pusingan perlumbaan.



Dalam pada itu, beliau yakin peluang untuk memintas kedudukan Gupita di tangga teratas masih terbuka luas namun perlu meraih kedudukan podium pada baki dua pusingan perlumbaan iaitu di Litar Losail, Qatar dari 30 Sept hingga 3 Okt dan pusingan terakhir di Litar Chang, Buriram dari 3 hingga 6 Dis depan.



"Jika kami mampu melakukannya, saya yakin penentuan gelaran juara akan ditentukan pada pusingan terakhir Disember nanti," kata Norizman yang merupakan juara dua kali kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.



-- BERNAMA