Bekas Telur, Cawan, Pinggan Polisterin Diubah Suai Jadi Jalur Gemilang

Last update: 31/08/2015

Oleh Noraini Ahmad



GERIK, 31 Ogos (Bernama) -- Pelbagai cara dan aktiviti dilakukan oleh individu mahupun organisasi bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.



Tidak terkecuali anggota jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Gerik serta penduduk Kampung Lalang di sini, yang mengubah suai bekas telur, cawan dan polisterin menjadi Jalur Gemilang sebagai perhiasan di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lalang, bersempena Hari Kebangsaan 2015.



Bagi pengguna laluan Gerik-Pengkalan Hulu, mereka boleh melihat Jalur Gemilang gergasi sepanjang hampir 20 meter di pintu pagar sekolah berkenaan yang dihasilkan daripada cawan polisterin.



Lebih menarik lagi, pintu gerbang sekolah dihiaskan dengan bunga manggar berbentuk Jalur Gemilang yang dicucuk pada batang pisang bersama poster Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, serta ratusan bendera kecil digantung di sepanjang laluan menuju ke bangunan utama.



Penulis juga berasa teruja apabila dibawa melawat sudut patriotik mempamerkan Jalur Gemilang yang dihasilkan daripada sarang telur selain buaian Jalur Gemilang serta pokok bendera berhampiran Taman Astaka sekolah.



Guru Besar sekolah berkenaan, Ahmad Marzuki Mohamad berkata kesemua hasil kerja itu adalah bagi memperlihatkan semangat kenegaraan yang tinggi kepada 218 murid sekolah, termasuk 25 kanak-kanak pra-sekolah serta 16 murid pendidikan khas.



"Ini kali pertama kami bersungguh-sungguh menghasilkan keceriaan sempena Hari Kebangsaan. Sekolah ini terletak di kawasan Hulu Perak, dan itu tidak bermakna kami terpinggir untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya.



Beliau berkata pada awalnya agak mustahil membuat hasil kerja itu, namun berkat kerjasama anggota jawatankuasa PIBG Gerik serta penduduk kampung, mereka berjaya mengekspresikan lebih 3,000 Jalur Gemilang dalam pelbagai bentuk dan saiz pada seluruh bangunan sekolah hanya dalam tempoh lima hari.



Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Abdul Rani Abdul Rahman berkata sekolah itu seakan berpesta apabila penduduk kampung turut membantu, dan ada yang sanggup tidur lewat bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar.



"Semua bertungkus lumus menyumbang idea dan tenaga, rasa berbaloi apabila lihat hasilnya walaupun ramai yang tidur lewat sepanjang empat malam menyiapkannya," kata beliau.



Kerjasama yang ditunjukkan seluruh warga SK Kampung Lalang tahun ini, melayakkan mereka menyertai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2015 kategori sekolah peringkat negeri.



Sekolah itu memenangi tempat kedua dan meraih wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan pada satu majlis penyampaian hadiah pertandingan sempena Hari Kebangsaan 2015 di Dewan Bandaran Ipoh hari ini.



Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan hadiah itu kepada Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Siti Hafsah Mohamed.



-- BERNAMA