Artis, Pereka Tempatan Boleh Pasarkan Karya Di Portal Creative United

Last update: 29/08/2015

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Portal Creative United, portal kendalian syarikat Createsquare Pixels Sdn Bhd yang memasarkan karya seni tempatan untuk dikomersilkan, memberi ruang kepada golongan artis dan pereka seni tempatan mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka.

Jika sebelum ini golongan artis dan pereka seni berdepan masalah untuk mempromosikan produk mereka bagi dikomersilkan, portal itu dapat membantu mereka menangani permasalah itu.

Melalui portal itu, artis dan pereka tempatan hanya perlu memuat naik karya seni mereka untuk dikomersilkan menjadi produk jualan seperti cetakan seni, cetakan kanvas, bantal, bag dan banyak lagi.

Pengasas bersama Createsquare Pixels Sdn Bhd Aizil Akmar Omar berkata pihaknya akan menguruskan proses tempahan, pembayaran, pembuatan dan penghantaran, dengan modal yang pereka perlukan hanya hasil karya kreatif sahaja.

"Pereka hanya perlu muat naik karya mereka, pilih jenis produk, tetapkan harga dan seterusnya tunggu untuk terima royalti...bahagian pembuatan dan pemasaran kami yang uruskan," katanya kepada Bernama pada pameran KL Converge! 2015 di sini, Sabtu.

Aizil berkata pihaknya memberi kebebasan kepada pereka untuk menentukan harga kerana mereka lebih layak menilai hasil kerja sendiri selain menerima royalti 20 peratus daripada hasil jualan.

"Kita ada ramai pereka dan artis berbakat besar yang boleh diketengahkan namun, tidak ramai daripada mereka ada kemahiran pemasaran. Jadi, saya harap portal ini boleh jadi platform permulaan buat mereka," katanya.

Portal pasaran kreatif itu diperkenalkan pada hari pertama KL Converge! 2015 yang berlangsung selama tiga hari mulai Khamis dan menyasarkan penyertaan daripada artis, pereka dan ilustrator berbakat tempatan.

Mereka yang berminat boleh mendaftar dan memuat naik karya di www.creativeunited.my secara percuma.

KL Converge! 2015 merupakan persidangan dan pameran untuk menunjukkan kuasa komunikasi dalam memajukan gaya hidup digital untuk semua rakyat Malaysia.

Ia dianjurkan bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

-- BERNAMA