Benita Anjur Kembara Mencari Harta Karun 5-6 Sept

Last update: 21/08/2015

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) sekali lagi menganjurkan acara kembara khusus untuk wanita 'All Ladies Treasure Hunt' yang bakal diadakan pada 5 dan 6 Sept ini.

Bertemakan 'Moh Kita ke Perak Yong', acara tersebut merupakan edisi ketiga, yang diadakan setiap dua tahun sekali bermula pada 2011, bakal menyaksikan 200 peserta bersama 50 kenderaan bersaing menjelajah pelbagai tempat dari Kuala Lumpur menuju ke Lumut, Perak.

Majlis pelancaran dan penyerahan ikrar janji penaja utama dirasmikan pada 14 Ogos oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab di Wisma Bernama.

Zakaria berkata, acara yang dianjurkan Benita itu dapat merapatkan hubungan Bernama dengan masyarakat di samping beramal kebajikan.

"Melalui acara ini, Benita berjaya mendekatkan Bernama dengan masyarakat umum sambil menggalakkan penyertaan semua wanita dari pelbagai peringkat dan sektor untuk menyertai acara santai yang mencabar minda. Peserta juga melakukan kebajikan dengan menyumbang 'harta' yang diperoleh ke rumah kebajikan anak yatim terpilih," katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penaja utama antaranya kerajaan Perak dan syarikat-syarikat korporat seperti Mah Sing Group, Affin Hwang Asset Management Berhad, IJM Corporation, AmBank Group dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Edisi kembara itu mempunyai kategori terbuka untuk orang ramai dan kategori tertutup eksklusif untuk anggota Benita dan Puspanita Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti wang tunai berjumlah RM12,000 kepada tiga pemenang utama untuk kedua-dua kategori.

Tarikh tutup penyertaan adalah 21 Ogos ini.

-- BERNAMA