IFF Platform Pereka Muslimah

Last update: 18/08/2015

Oleh Zaphne Philip

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Islamic Fashion Festival (IFF) yang baru berakhir menyaksikan lebih banyak penyertaan daripada para pereka fesyen muslimah.

IFF menyediakan platform kepada para pereka tempatan untuk memperagakan rekaan bercitarasa tinggi serta penuh 'glamour'.

"Saban tahun Islamic Fashion Festival mendapat penyertaan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pereka fesyen pakaian muslimah.

Selain 'high fashion' dan 'glamourous', kami juga menekankan konsep mudah pakai seperti 'treetwear'," kata Datuk Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, atau lebih dikenali umum sebagai Shah Rezza, kepada wartawan Bernama Lifestyle and Youth ketika ditemui di Kuala Lumpur Fashion Week 2015 (KLFW2015) baru-baru ini.

Shah Rezza merupakan pengasas dan pengerusi IFF. Beliau turut mengatakan bahawa rekaan seperti itu bukan sahaja menarik perhatian penggemar fesyen tetapi ia juga memudahkan mereka dalam menggayakan rekaan para pereka denga selesa.

IFF diadakan bersempena dengan Kuala Lumpur Fashion Week 2015 (KLFW2015) dengan tema 'Ready To Wear'.

Menurut Shah Rezza lagi, sejak dari tahun pertama KLFW dianjurkan, beliau telah menyambut baik jemputan penganjurnya, Andrew Tan untuk turut serta dalam KLFW.

Acara yang berlangsung selama lima hari iaitu bermula dari 12 hingga 16 Ogos tersebut telah mendapat penyertaan daripada lebih 80 pereka fesyen dari dalam dan luar negara.

--BERNAMA