Panggung Khayalan Bakal Kumpul 10,000 Peminat Search

Last update: 13/08/2015

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kumpulan rock malar segar Search bakal menghiburkan para peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam Konsert Panggung Khayalan di Nusajaya, Johor.

Konsert anjuran Universal Music Malaysia dengan kerjasama EduCity Iskandar Malaysia ini akan menemui para peminat di Kompleks Sukan EduCity pada 24 Oktober nanti bermula 8 malam.

Diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang, konsert ini merupakan titik permulaan buat kumpulan yang berasal dari Johor Bahru ini untuk menjelajah ke seluruh tanah air.

Panggung Khayalan merupakan sebuah lagu di dalam album studio Search bertajuk Rock N' Roll Pie yang diterbitkan pada tahun 1996 bersempena dengan ulang tahun ke-15 penubuhannya.

Tiket serendah RM66 boleh diperolehi secara atas talian di laman web http://www.tickethotline.com.my. Sebanyak 100 tiket premium berharga juga turut dijual berharga RM756 setiap satu yang mana pemiliknya turut diundang menghadiri majlis khas selepas konsert bersama semua anggota Search.

-- BERNAMA