Terpukau Dengan Persembahan Wayang Kulit Di Publika

Last update: 11/08/2015

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dengan sepenuh tenaga Irsyad Abdul Rahman memalu geduk, sejenis gendang dua muka, mengiringi persembahan Wayang Kulit, yang jelas menarik perhatian pengunjung termasuk warga asing di ruang Black Box gedung membeli-belah Publika di Solaris Dutamas baru-baru ini.


Irsyad ternyata cekap memalu geduk dan bunyi pukulan seiring dengan bunyian alat muzik yang lain iaitu Canang, Gedombak serta Kesi dan ini memeriahkan lagi persembahan Wayang Kulit oleh Sri Warisan Pusaka.


Tajuk persembahan Wayang Kulit pada hari itu 'Hikayat Maharaja Wana' melibatkan empat watak mitos dan persembahan pemalu gendang, Isyad yang baru berusia 14 tahun begitu menarik perhatian penonton.


Irsyad memberitahu Bernama beliau meminati Wayang Kulit sejak di tadika lagi dan belajar beberapa alat muzik yang biasa dimainkan dalam persembahan wayang kulit daripada ayahnya, Abdul Rahman Dollah yang mengepalai bahagian muzik Sri Warisan Pusaka.



SUDAH MENJADI DARAH DAGING



"Saya masih ingat lebih kurang 10 tahun lalu apabila saya mula melihat ayah saya membuat latihan dengan kawan-kawannya. Sejak itu saya menyimpan minat untuk menerokai muzik Wayang Kulit.


"Saya mengambil masa beberapa tahun untuk belajar bermain beberapa alat muzik. Agaknya muzik sudah menjadi darah daging saya, " kata beliau apabila ditemui selepas tamat persembahan.


Wayang Kulit adalah seni persembahan purba yang menggunakan bayang patung watak yang dikawal oleh Tok Dalang. Walaupun para hadirin pada malam itu begitu tertarik dengan persembahan wayang kulit itu, seni persembahan itu sebenarnya semakin ditelan zaman.


Irsyad dan Abdul Rahman berharap akan ada usaha untuk memelihara seni Wayang Kulit yang semakin dilupakan itu.


"Benar generasi muda tidak berapa berminat akan seni ini tetapi kita memerlukannya untuk mengekalkan tradisi ini. Saya tak mahu tradisi ini luput ditelan zaman," kata Abdul Rahman.


Sri Warisan Pusaka diasaskan oleh Allahyarham Tok Dalang Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Dalang Dollah Baju Merah. Beliau amat dikenali sebagai tokoh Wayang Kulit pada lewat 1950an.


Dengan kemunculan Tok Dalang baru seperti Mohamad Hassan Noor dan Abdul Rahman, kedua-duanya anak didik Dollah Baju Merah, kumpulan ini bergerak ke seluruh dunia untuk membuat persembahan Wayang Kulit.


Dengan sokongan pertubuhan kebudayaan bukan berbentuk keuntungan, Pusaka, pasukan ini ini diberi peluang untuk membuat persembahan di Amerika Syarikat iaitu di Texas, Houston, Florida Atlanta pada bulan Februari lepas.


Pada tahun 2007, kumpulan ini membuat persembahan pada pembukaan minggu Pesta L'imaginaire di Paris.


Kumpulan yang sama juga membuat persembahan dengan Orkestra Filharmonik Malaysia sempena ulang tahun ke-50 Hari Kemerdekaan pada tahun 2007.



USAHA UNTUK GENERASI AKAN DATANG



Sementara itu, pengasas Pusaka Eddin Khoo berkata pertubuhannya bekerja erat dengan mereka yang terlibat dalam Wayang Kulit untuk memberi nafas baru dalam seni persembahan tradisional ini supaya dapat diwarisi generasi akan datang.


"Menjadi tekad saya untuk memelihara warisan tradisi ini meskipun saya separuh Cina dan separuh India kerana saya masih rakyat Malaysia yang bermakna semua tradisi perlu dipelihara," katanya.


Sejak tahun 2002, Pusaka telah giat melakukan penyelidikan serta dokumentasi pelbagai seni persembahan tradisional di Semenanjung di samping menganjurkan persembahan serta ceramah untuk memelihara warisan kesenian Malaysia.


-- BERNAMA