Kak Cik Buat Yang Terbaik

Last update: 11/06/2015

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Fadilah Mansor yang membahasakan dirinya sebagai Kak Cik menyatakan perasaan gemuruhnya ketika saat beliau melontarkan suara pada konsert istimewa 50 tahun Orkes Nirwana.

Beliau mendendangkan lagu Takkan Ku Tanya Lagi, Pulang Muhibbah serta Syurga Idaman pada konsert dua hari mulai Sabtu lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.

"Ini kali pertama Kak Cik menyanyi di pentas berprestij. Ketika menyanyi, macam-macam ada dalam fikiran seperti perasaan takut dan bimbang.

"Namun Kak Cik dah buat sebaik mungkin sebab suami juga mengharapkan sesuatu yang baik," katanya yang merupakan isteri penyanyi Datuk A. Rahman Hassan selaku pemimpin Orkes Nirwana, kepada Bernama.

Konsert selama dua jam setengah itu terdiri daripada dua segmen iaitu segmen pertama menampilkan dendangan lagu-lagu Orkes Nirwana, manakala segmen kedua merupakan lagu-lagu The Beatles yang mempengaruhi irama pop yeh yeh.

Maka berkumandanglah lagu-lagu seperti Ku Rindu, Aku Kan Pergi, Hanya Untukmu, Kerana Fitnah, Perpaduan Hidup, Tak Mengapa, Syurga Idaman, Please Don't Tease, I Wanna Hold Your Hand dan lain-lain.

Turut ditampilkan ialah artis jemputan seperti Datuk Jeffrydin, A. Bakar, Vernon Cornelius, The Cliffters, Md Nor Hendrix, Md Shah Osman serta bakat baharu Maisya dan Maisarah.

Konsert anjuran Harithmai Production dengan kerjasama Datuk A.Rahman Hassan itu turut menampilkan penari Sayang Dancers bersama Farah Sulaiman.

Bagi A. Rahman, konsert itu merupakan kemuncak kepada pembabitannya dalam lagu-lagu pop yeh yeh selain dapat berkongsi perjalanan Orkes Nirwana setelah 50 tahun ia ditubuhkan.

"Walaupun dewan tidak sesak tetapi penonton yang datang amat menggemari lagu pop yeh yeh. Seandainya konsert ini dapat memberi kesan kepada penerusan lagu-lagu ini, saya amat berpuas hati," katanya.

A. Rahman berkata jika terus mendapat permintaan daripada penganjur, beliau akan tetap meneruskan perjuangannya untuk menaikkan irama pop yeh yeh.

"Saya juga akan cuba berusaha mencungkil bakat-bakat baharu bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga kebolehan bermain alat muzik pop yeh yeh," katanya menutup bual bicara.

-- BERNAMA