Empat Universiti Awam Perbaiki Kedudukan Dalam Ranking Asia

Last update: 10/06/2015

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Empat universiti awam yang juga universiti penyelidikan negara berjaya memperbaiki kedudukan dalam QS University Ranking
Asia 2015, berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata Universiti Malaya memperbaiki kedudukan dari tangga ke-32 tahun lepas kepada 29 tahun ini dan Universiti Sains Malaysia di tempat ke-49 berbanding 57 tahun lepas.

Selain itu, Universiti Teknologi Malaysia di tangga ke-61 daripada 66, Universiti Putra Malaysia (76 ke 66), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia pula kekal pada kedudukan ke-56 seperti tahun sebelumnya, katanya.

QS University Ranking Asia menyenaraikan kedudukan 300 universiti terbaik di Asia, sejak 2009.

Idris mengumumkan demikian semasa menyampaikan taklimat Peningkatan Berterusan: Transformasi dan Kejayaan Pendidikan Malaysia di Wisma Bernama
(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) di sini semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Idris berkata pencapaian universiti awam negara semakin baik dalam pelbagai bidang sejak kebelakangan ini antaranya,
tersenarai dalam 'top 100 subject ranking in the world' menerusi QS World University Rankings by Subject 2015.

Beliau juga yakin sasaran untuk universiti negara berada pada kedudukan 100 universiti terbaik di dunia dalam masa dua tahun lagi akan tercapai menerusi langkah sedia ada dalam Pelan Pembangunan Pendididikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

-- BERNAMA