UIAM Pelopori Penubuhan Panel Universiti Islam Seluruh Dunia - Rais

Last update: 09/06/2015

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi pelopor kepada penubuhan panel universiti-universiti Islam seluruh dunia yang akan mengkaji standard dan mutu pengajian Islam di masa akan datang.

Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim berkata panel yang terdiri daripada wakil 57 universiti Islam utama seluruh dunia itu akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mewujudkan standard pengajaran dan pengajian antarabangsa dalam bidang Islamiah.

"Panel ini juga akan mewujudkan garis panduan untuk menjadi pencipta berdasarkan teknologi Islam dan mencari jalan, apa yang dipelajari oleh pelajar kita bukan hanya cedokan dari ilmu barat semata-mata.

"Kita perlu mempunyai standard kita sendiri sebab tamadun Islam yang pernah mempunyai inovator atau pencipta ulung suatu ketika dahulu berbeza dengan tamadun Kristian atau tamadun sivil yang lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Perdana Presiden UIAM di sini, hari ini.

Beliau berkata keperluan terhadap garis panduan dan standard pengajian Islam di universiti Islam seluruh dunia adalah penting agar ia tidak hanya mengikut tanda aras yang ditetapkan oleh universiti terkenal di Barat.

Beliau berkata panel itu dijangka akan mula mengadakan konvensyen dan perbincangan meja bulat menjelang akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata setakat ini tiada sebarang penglibatan dalam kegiatan ekstremis atau berkait dengan kumpulan militan IS dalam kalangan pelajar antarabangsa di UIAM.

"Bagaimanapun ada tanda-tanda bahawa ada pihak tertentu sedang merapati beberapa kumpulan pelajar antarabangsa di sini dan nama-nama mereka sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA