Konsert Jubli Emas Orkes Nirwana

Last update: 02/06/2015

Oleh Amira Syazwani Isahak


KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Konsert Orkes Nirwana bakal berlangsung pada 6 hingga 7 Jun ini di Istana Budaya dengan penampilan istimewa Datin Fadilah Mansor, isteri kepada Datuk A. Rahman Hassan.


"Datin Fadilah ialah orang yang dekat dengan Datuk Rahman dan senang untuk kita tampilkan beliau untuk konsert ini. Beliau akan menyampaikan dua atau tiga buah lagu pada malam tersebut," ujar penerbit konsert, Faizal Mustafa.


Penampilan Fadilah juga mendedahkan bakat beliau dalam bidang nyanyian. Beliau pernah menyertai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini namun nasib tidak menyebelahi beliau sebagai seorang penyanyi.


Konsert yang diadakan bersempena 50 tahun penubuhan Orkes Nirwana ini juga unik kerana menampilkan kerjasama bersama beberapa artis. Antara artis yang diundang adalah Datuk Jefrey Din, Vernon Cornelius, Cliff Richard, Maisarah dan Maisha, penyanyi remaja yang bakal membawa legasi lagu-lagu Pop Yeh Yeh.


Kumpulan yang telah berkurang jumlah ahlinya daripada 12 orang kepada enam orang sejak ditubuhkan pada tahun 1965, bakal memperkenalkan anggota baru iaitu Abdul Azim Talhah sebagai pemain drum dan anak A. Rahman Hassan sendiri, Ilmi Rahman sebagai penyanyi.


Persembahan yang berlangsung selama dua hari itu akan memperdengarkan 31 buah lagu-lagu hits mereka. Tiket konsert boleh didapati melalui online www.ticket2u.biz atau di kaunter Istana Budaya dengan harga RM53, RM103, RM163, RM203, RM253, RM303 dan RM453.


--BERNAMA