46 Wartawan Berentap Rebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014

Last update: 01/06/2015

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Sebanyak 46 orang wartawan akan berentap di peringkat akhir Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014 bagi merebut wang tunai berjumlah RM300,000 tajaan Petronas.

Mereka adalah antara 413 pengamal media yang mengemukakan penyertaan masing-masing bagi anugerah itu yang akan diumumkan pada 8 Jun ini bersempena Malam Wartawan Malaysia 2015 anjuran MPI di sebuah hotel di sini.

MPI dalam kenyataan hari ini berkata 26 daripada mereka mengemukakan penyertaan secara individu dan selebihnya mengemukakan penyertaan berpasukan - sama ada dua ataupun tiga orang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Tiga belas kategori dipertandingkan dan penyertaan terbaik akan dinobatkan sebagai Penerima Hadiah Kajai yang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.

Pemenang bagi setiap kategori pula akan menerima wang tunai RM15,000.

Kategori itu ialah Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail; Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang; Laporan Berita Cemerlang; Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang; Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang; Penulisan Rencana Cemerlang; Penulisan Kolum/Ruangan Cemerlang; Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang; Kewartawanan Foto Cemerlang; Esei Foto Cemerlang; Berita Video/TV Cemerlang; Dokumentari Video/TV Cemerlang; dan Anugerah Khas.

Mendominasi peringkat akhir anugerah kali ini adalah wartawan akhbar New Straits Times seramai tujuh orang, diikuti Berita Harian (enam orang), The Star (enam orang), Utusan Malaysia (empat orang), Bernama (tiga orang) dan New Sunday Times (dua orang).

TV3 diwakili lapan orang, RTM (tiga orang) dan TV9 (dua orang).

Wartawan Bernama, Sakini Mohd Said dicalonkan untuk peringkat akhir bagi kategori Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang manakala beliau dan rakan setugas, Ali Imran Mohd Noordin, dicalonkan bagi kategori Penulisan Rencana Cemerlang.

Jurufoto Azman Firdaus Azizan pula dicalonkan ke peringkat akhir bagi kategori Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang, Penulisan Rencana Cemerlang dan Kewartawanan Foto Cemerlang.

-- BERNAMA