Hari Kraf Kebangsaan Buka Pintu Kepada Usahawan Tempatan

Last update: 03/04/2015

Oleh Sakini Mohd Said


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sebelum ini, mereka yang berminat memiliki koleksi barangan kraftangan tidak mempunyai jalan lain selain terpaksa menyusuri mana-mana kawasan kampung bagi mendapatkannya.

Bagaimanapun, itu belum tentu mereka akan balik dengan apa yang dihajati.

Ada yang meredah beribu-ribu kilometer jauhnya, tetapi pulang dengan penuh kekecewaan apabila produk yang diingini tidak mempunyai stok ataupun motif dan rekaannya tidak memenuhi citarasa.

Kesukaran memilikinya ketika itu adalah disebabkan ia tidak begitu banyak di pasaran bandar selain penggiat kraf tidak mempunyai jaringan luas mengkomersialkannya.

Sekira adapun di bandar, pilihan tidaklah sebanyak mana selain harganya berlipat kali ganda disebabkan sudah berpindah tangan banyak orang.

Biarpun begitu, perkembangan industri kraf negara mula berubah wajah apabila Hari Kraf Kebangsaan (HKK) diperkenalkan pada 2003.

Menghimpunkan semua usahawan kraf yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) di bawah satu bumbung.

Ia, sedikit sebanyak membantu memudahkan mereka yang berminat memilikinya. Akan tetapi, mampukah HKK anjuran Kraftangan Malaysia ini membantu memartabatkan industri kraf? Dan, paling penting adakah ia berjaya menjana pendapatan mereka?


BUKA MATA

"Ya mampu," ringkas dan bersahaja jawapan yang diberikan oleh Zainiza Zaid ketika diajukan Bernama mengenai perihal itu.

Tidak pernah sekalipun terlepas menyertai HKK selepas berdaftar dengan Kraftangan Malaysia pada 2007, pemilik perniagaan batik lukis Zaiza Art Collection ini yakin prospek pasaran di situ.

Terletak di kawasan segi tiga emas ibu negara, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay di mana lokasi berlangsungnya HKK sepanjang 13 hari bermula 26 Mac lepas telah membantu memartabatkan industri kraf.

"Kawasan ini tumpuan pelancong serata dunia sama ada tempatan mahupun luar negara. Bagi usahawan seperti saya yang berniaga di negeri lain, tumpuan pembeli hanyalah sekitar Perlis.

"Tetapi, apabila dapat peluang seperti ini secara tidak langsung membuka mata ramai mengenai keunikan batik Perlis," katanya.

Tidak hanya memperkenalkan batik negeri itu, tetapi di sini juga sebagai platform yang amat dinanti-nantikan dalam kalangan pelancong untuk melihat secara dekat keunikan kraf warisan negara ini.


TERJEMAHAN IDENTITI

Teknik, motif, corak digunakan dalam penghasilan sesuatu produk kraf yang ketara diketengahkan di HKK, membantu mereka untuk mengenali identiti selain mengetahui kehebatan seni warisan dan budaya negara.

Dan, pengumpulan usahawan dari negeri-negeri ini menerusi terjemahan keistimewaan kraf adalah langkah terbaik, kata Zainiza.

"(Lagipun), penjualan di sekitar negeri Perlis agak terbatas. Kalau dilihat rekod jualan lepas, kami berjaya menjual 20,000 ke 30,000 pelbagai produk batik Perlis sepanjang 13 hari berlangsungnya HKK.

"Sesuatu yang sukar dicapai, biarpun ia telah dijual di sekitar bandar negeri Perlis. Disebabkan itu, saya tidak pernah terlepas menyertai HKK," katanya.

Sesuatu yang pasti, keuntungan diperoleh bukanlah pada skala pendek tetapi berpotensi untuk dikembangkan menerusi jaringan rangkaian perniagaan dengan lebih meluas lagi.

Ini, dapat dilakukan dengan menjadi landasan penemuan atau pemadanan perniagaan yang mana HKK telah banyak membantu usahawan muda kraf seramik Kuala Kangsar, Perak, Mohd Fahmi Mohamed Ghazali mencari pengedar dan peniaga yang berminat menjual produknya.


PEMADANAN PERNIAGAAN

Melalui konsep itu, beliau berjaya memasarkan produknya di luar pasaran Kuala Kangsar pada bila-bila masa sahaja tanpa menunggu tibanya HKK.

"Pasaran di Kuala Kangsar sahaja sudah sengit kerana terdapat ramai pengusaha seramik di sana. Manakala jualan sedia ada lebih tertumpu penduduk setempat atau pelancong yang singgah di Medan Seramik Kuala Kangsar.

"Bagaimanapun, produk seramik saya kini telah dijual melepasi pasaran Malaysia apabila HKK menjadi medan pertemuan antara saya dengan peniaga dan pengedar kraf," katanya.

Menyertai HKK sejak lima tahun lepas, beliau berkata antara peniaga luar negara yang telah menjalinkan kerjasama dengannya adalah Brunei dan Singapura.

Kehalusan kerja tangan, kelainan motif selain warna kontemporari dalam pelbagai produk seramik Mohd Fahmi, 26, antara sebab utama menambat perhatian peniaga antarabangsa.

Menariknya, bukan hanya Mohd Fahmi tetapi sudah ramai usahawan kraf yang telah mendapat manfaat daripada aktiviti pemadanan perniagaan ini. Justeru, tidak menghairankanlah apabila Kraftangan Malaysia memberi tumpuan penuh kepada konsep pelebaran pemasaran sedemikian.


KENALPASTI

Ini kerana, aktiviti pemadanan perniagaan dalam kalangan usahawan kraf tempatan dengan pemborong dan pengedar kraf ternama antarabangsa adalah platform terbaik memperkenalkan produk baharu mereka.

Selain mendapatkan maklum balas permintaan dan kehendak pasaran terkini.

Mengulas mengenainya, Pengarah Bahagian Pemasaran Kraftangan Malaysia, Sahaimi Abd. Manaf berkata seramai 17 peniaga luar negara yang diyakini akan menjalinkan kerjasama telah dikenalpasti hadir ke HKK kali ini.

Antaranya, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Ireland, Rusia, United Kingdom, Pakistan dan Korea. Bagi memudahkannya, Kraftangan Malaysia telah mengaturkan beberapa sesi perjumpaan khas antara usahawan kraf tempatan dengan peniaga luar negara itu berdasarkan kepada kehendak dan minat mereka.

"Dalam kalangan 17 peniaga, ada yang pertama kali dan ada yang sudah datang untuk kali kedua. Kita berharap mereka akan membuat tempahan dan pembelian bagi produk kraf tempatan.

"Melalui pembelian ini dan seterusnya memasarkan di kedai mereka telah membawa produk warisan negara ke pasaran global," katanya.


TUMPUAN

Disebabkan itulah, HKK sentiasa menjadi tumpuan kalangan usahawan kraf tempatan untuk memperoleh pelbagai manfaat dalam mengukuhkan serta mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ini, dapat dilihat menerusi jumlah usahawan yang menyertai HKK.

Sekiranya hanya seramai 110 usahawan ketika pertama kali diadakan pada 2003. Edisi ke-13 tahun ini telah menunjukkan peningkatan begitu ketara, sekali gus mencatatkan sejarah dengan pembabitan paling ramai iaitu 638 usahawan.

Pengusaha tekstil, seperti biasa masih mendominasi HKK membabitkan seramai 255 usahawan diikuti hasil rimba (128 orang), perkhidmatan perkahwinan (83 orang), aneka kraf (69 orang), hasil tanah (52 orang) dan hasil logam (51 orang).

Peningkatan untuk turut serta menjayakan HKK juga adalah berdasarkan rekod sebelum ini yang sentiasa menunjukkan sambutan memberangsangkan malahan ada yang melangkaui sasaran.

Misalnya, jumlah hasil jualan tahun lepas adalah RM20.8 juta melebihi daripada apa yang disasarkan iaitu sebanyak RM20 juta. Dan, tahun ini Kraftangan Malaysia menyasarkan hasil jualan sebanyak RM25 juta.

"Penganjuran HKK adalah bertujuan memberi pengiktirafan ke atas sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam mengembangkan industri kraf dan ekonomi negara.

"Bagaimanapun, kita secara dasarnya mengutamakan usahawan kraf yang telah berdaftar dengan Kraftangan Malaysia untuk menyertai HKK," katanya.

-- BERNAMA