Lebih 100 Belia Hadir Diskusi 'Tanya Gomen' Bersama Ahmad Shabery

Last update: 03/04/2015

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Lebih 100 golongan belia celik teknologi hadir dalam program #TanyaGomen bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk berdiskusi dengan menteri secara santai.


Program yang dilihat ala-ala suasana sembang santai di kedai kopi itu, memperlihatkan sesi diskusi selama sejam yang dikendalikan oleh Zan Azlee, seorang wartawan 'New Media' dari Fat Bidin Media di bangunan Platinum Sentral, KL Sentral.


Antara topik yang menarik dalam program itu, adalah hala tuju negara dalam menambahbaik perkhidmatan jalur lebar yang lebih pantas dan efisyen.


Ahmad Shabery berkata Malaysia sedang menuju untuk mencapai perkhidmatan kelajuan jalur lebar yang boleh mencecah lebih 25 Megabit sesaat (MBPS).


Beliau berkata ekoran pelaburan untuk menambahbaik infrastruktur jalur lebar memerlukan kos yang tinggi, ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan.


"Harga untuk menanam satu kilometer kabel fiber optik di dalam tanah adalah dianggarkan mencecah RM200,000, manakala harga sebuah menara pemancar pula adalah di antara RM1 juta hingga RM5 juta.


"Memang pelaburan dalam menambahbaik kelajuan internet adalah terlalu tinggi namun semua itu sedang direalisasikan untuk memberi perkhidmatan jalur lebar yang terbaik kepada orang ramai," kata Ahmad Shabery.


Di samping itu, antara topik lain yang mendapat perhatian adalah kadar caj perkhidmatan jalur lebar yang dikatakan tinggi dan tidak berkemampuan bagi golongan belia.


Ahmad Shabery mengumumkan bahawa syarikat telekomunikasi (TELCO) telah bersetuju untuk mengurangkan caj perkhidmatan jalur lebar mereka sekurang-kurangnya enam peratus daripada harga asal bagi menggalakkan penggunaan internet dalam kalangan orang ramai.


Katanya, perkara itu diputuskan setelah beberapa siri perbincangan dengan pihak TELCO diadakan, dan keputusan itu akan diumumkan secara rasmi dalam masa sebulan.


Ahmad Shabery, yang juga Anggota Parlimen Kemaman, turut berkongsi pengalaman beliau ketika turut serta turun padang membantu orang ramai pada musim banjir buruk di Terengganu tahun lepas.


Dalam perkongsian itu, beliau menegaskan bahawa betapa pentingnya kemajuan teknologi dan komunikasi dalam operasi menyelamat mangsa banjir.


Di samping itu juga, Ahmad Shabery menekankan kepentingan melahirkan ramai bakat karyawan baharu khususnya golongan muda dalam industri kandungan kreatif di peringkat global.


--BERNAMA