e-Sentral: Semua Komponen Pengiraan GST Diaktifkan Hari Ini

Last update: 01/04/2015

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- e-Sentral, portal yang menyediakan pelbagai buku elektronik (e-buku), akan memastikan semua komponen berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diaktifkan pada portalnya mulai hari ini.

Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd yang mengendalikan portal tersebut, Faiz Al-Shahab berkata, syarikat juga akan menyediakan laporan kewangan untuk pihak Kastam seperti yang dirancang.

Beliau juga menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengecualikan e-buku daripada GST, yang menurutnya, "berita gembira untuk pemain industri e-buku tanah air."

Semua bahan bacaan termasuk surat khabar dikecualikan GST selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

"Kami tiada isu dengan kerajaan dalam perihal perlaksanaan GST, namun untuk arena digital ianya perlu dilakukan untuk semua pihak.

Jika pihak Kastam Diraja dapat menghasilkan satu mekanisma untuk cukai syarikat dalam talian asing yang menjual kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang jika diperlukan, e-Sentral akan sokong perlaksanaan GST berkadar", jelasnya.

--BERNAMA