Rezeki Lebih Bila Berkongsi Ilmu

Last update: 31/03/2015

Oleh Sakini Mohd Said


SHAH ALAM (Bernama) -- Tatkala ramai pengusaha makanan agak keberatan berkongsi rahsia resepi masing-masing, lain pula bagi Sophiahanis Md Hanipah yang bersikap lebih terbuka.

Beliau, yang tidak lokek berkongsi resepi kek coklat hasil tangannya, percaya bahawa dengan berkongsi ilmu seperti yang dituntut dalam Islam boleh menjadikan seseorang itu lebih beruntung daripada rugi.

Biarpun bukan semua, tidak dinafikan penyakit atau mentaliti 'kedekut ilmu' ini masih lagi menebal dalam kehidupan segelintir besar masyarakat. Khususnya, dalam kalangan usahawan makanan.

Tidak mahu berkongsi resepi atau kejayaan dikecapi, kebanyakan mereka ini dibelenggu kebimbangan yang keterlaluan jika ada meniru dan menggunakan resepi sama menjalankan perniagaan.

Bagi mereka, resepi adalah tonggak utama mencari rezeki dan perlu dirahsiakan kerana itulah yang menjadikan sesebuah restoran istimewa dan daya penarik orang ramai.

'Ini resepi nenek moyang'. 'Kami menggunakan bahan istimewa yang membuatkan makanan ini lain daripada di pasaran, antara respons yang diberikan apabila ada yang bertanyakan mengenai rahsia kesedapan sesuatu makanan.

Biarpun begitu, berlainan pula dengan pengeluar dan pengedar kek coklat jenama Anis Chocolate Melt, Anis Food Sdn Bhd ini. Boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya, mereka begitu terbuka berkongsi kejayaan dan paling utama resepi kek coklatnya menjadi kesukaan ramai hari ini.


MUDAH

Taip sahaja di mana-mana pencarian laman sesawang sama ada google mahupun yahoo mengenai Anis Chocolate Melt, pastinya ia tidak akan mengecewakan.

Hanya dengan sekali pencarian, sesiapa sahaja berpeluang mengakses keenakan resepi kek yang semakin dikenali ramai dan telah mencatatkan permintaan begitu memberangsangkan.

Mungkin ada menyangka, resepi diberikan tidak lengkap, mesti ada yang kurang dan perkongsian itu hanya dikira ala kadar sahaja. Akan tetapi, kebanyakan respons diberikan adalah sebaliknya.

Kek mereka tidak bantat atau tidak sekata, tetapi lembut, gebu sepertimana terjual di pasaran mengikut ramuan dan aturan yang tersebar luas di paparan gerbang teknologi maya itu.

Menariknya, rahsia keistimewaannya bukanlah didedahkan oleh pekerja tidak bertanggungjawab tetapi dikongsi sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi yang juga merangkap pemilik Anis Food, Sophiahanis.


VIRAL

Perkongsian di blog mahupun laman sosialnya itu, Facebook, akhirnya telah menjadi viral sejak tahun 2010 lagi iaitu sebelum syarikat kek ini menempa nama dalam bidang perniagaan.

"Kebanyakan masyarakat kita mempunyai sifat kurang senang melihat kejayaan orang lain dan sikap berkongsi kelebihan jarang pula dipraktikkan. Ini semua pemikiran lama yang harus disingkirkan," katanya kepada Bernama.

Istimewanya, perkongsian itu tidak pula merencatkan rezeki Anis Food biarpun ada yang menggunakan resepi itu untuk menjalankan perniagaan serupa.

Malahan, perniagaan kek yang bermula sejak 2006 ini semakin berjaya bukan sahaja di sini tetapi juga meliputi permintaan luar negara.


KEBERKATAN

Dengan pencapaian membanggakan itu, kapasiti pengeluaran sedia ada sudah tidak lagi mencukupi dan memerlukan perniagaan usaha sama Sophiahanis bersama suaminya ini, Junaidy Abu Bakar mengorak transformasi.

Tidak lagi beroperasi di dapur rumah, Anis Food mengembangkan pengeluaran di empat buah rumah kedai di Seksyen 13 dan terbaharu pembukaan kilang di Bukit Jelutong.

Bernilai RM5 juta, kilang baharu ini berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 50,000 bekas sehari berbanding 15,000 bekas sebelum ini. Dan istimewanya, bukan hanya satu kilang tetapi juga mempunyai kilang di Sabah dan Indonesia bagi memenuhi permintaan pasaran.

Paling membanggakan, pasar raya besar seperti Tesco, Mydin, Kedai Mesra Petronas dan kedai serbaneka 24 jam yang popular, 7-Eleven turut berminat menjalinkan kerjasama.

Satu persatu kejayaan dikecapi ini, adalah bukti jelas bahawa 'perkongsian' atas manfaat bersama tidak mengurangkan tetapi meluaskan lagi rezeki diterima, jelas Sophiahanis yang sebelum ini merupakan eksekutif di sebuah syarikat terkenal.

"Saya berpegang kepada prinsip, berkongsi mendatangkan keberkatan. Sebenarnya, sedap atau tidak kek ini adalah subjektif. Semua orang boleh buat kek dan resepi diberikan sama sahaja seperti di Internet.

"Tetapi, ramuan terakhir yang menyedapkan lagi kek ini adalah 'keberkatan'. Rezeki Allah itu luas dan kita kena yakin dengan itu. Kita belum cukup hebat, belum cukup kaya sekiranya tidak dapat membantu menjayakan orang lain," katanya sambil menambah Islam amat memberi penekanan mengenai perkongsian ilmu.


TANGGUNGJAWAB

Tidak sekadar berkongsi resepi, tetapi ibu dan ayah kepada empat orang anak ini juga aktif membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) lain mengukuhkan platform mereka.

Ini, dilakukan dengan membantu usahawan mencari tapak memasarkan produk mereka, antara masalah utama dikenalpasti dalam kalangan yang baharu mula terlibat perniagaan.

"Produk kami hanya kek coklat dan tart nanas sahaja. Dan, ramai yang bertanya sama ada kami tidak berminatkah mempelbagaikan produk. Jadi, timbullah idea membantu usahawan-usahawan baharu ini.

"Produk mereka bagus, cuma tidak tahu bagaimana untuk memasarkan sahaja. Kami pun faham kerana turut berhadapan perkara serupa pada awal perniagaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Anis Food, Junaidy.

Tidak mengambil kesempatan ke atas mereka, logo dan jenama produk kek yang dihasilkan oleh usahawan IKS baharu ini dikekalkan dan tidak ditukarkan kepada Anis Food.

Dengan itu, memudahkan sesiapa sahaja yang berminat menjual produk mereka menghubungi terus usahawan ini sekali gus membantu berdikari dan bergerak sendiri nanti.


AKTIF MENGAJAR

Dalam masa sama, pasangan suami isteri yang mempunyai sikap rendah hati dan mudah mesra ini juga tidak lokek berkongsi ilmu dan kejayaan mereka dalam perniagaan.

Menceburi hampir 10 tahun dalam dunia kek, menimbulkan rasa tanggungjawab membantu usahawan bumiputera lain yang baharu mengorak langkah dalam dunia penuh cabaran itu.

Mereka aktif berkongsi pengalaman apabila ada masa terluang, menariknya ramai usahawan yang mengikuti program tersebut kini sudah berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.

"Tahun lepas sahaja, kami sudah menganjurkan 20 program perkongsian pengalaman. Bukan motivasi, tetapi lebih kepada bagaimana kami boleh menceburi bidang perniagaan ini dan strategi digunakan sehingga kekal ke hari ini," kata Junaidy.

Pernah turun naik dalam perniagaan selain pernah diisytiharkan muflis, pengalaman bangkit daripada kegagalan itu sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan kepada usahawan baharu.

"Ilmu dan rezeki akan bertambah dengan banyak jika kita berkongsi bersama-sama. Usah takut orang akan meniru kerana apabila kita membantu mereka mencari sumber nafkah untuk keluarga, tidak sedikit pun akan menjejaskan periuk nasi kita," katanya.

Lagipun, dalam Islam sendiri sudah menyatakan dengan jelas apabila matinya seseorang anak Adam, maka putuslah hubungannya dengan dunia kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, doa anak soleh dan ilmu yang dimanfaatkan.

-- BERNAMA