Jiwa Pahlawan Tetap Sebati Dalam Diri Hamid Gurkha

Last update: 09/03/2015

Oleh Suriani Razali

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Hamid Gurkha, merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang seni komedi negara. Beliau atau nama sebenarnya Abdul Hamid Ab Rahman mula dikenali melalui filem Panglima Badul (1978) dan Main-Main Hantu (1989).

Dilahirkan pada tahun yang sama dengan pengaktifan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 22 Ogos 1933 di mana negara masih lagi di bawah penjajah, beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Hamid, memilih untuk menyertai pasukan tentera selama tujuh tahun, bermula pada 1950.

Pada usia 82 tahun kini, suami kepada Timah Abdul Hamid serta bapa kepada lapan orang anak ini masih lagi aktif menerima undangan untuk majlis-majlis korporat dan persembahan pentas, maklum beliau kepada Bernama Lifestyle and Youth baru-baru ini.

GELARAN GURKHA

Gelaran Gurkha pada hujung namanya mempunyai kisah yang tersendiri dan amat istimewa buat diri beliau. Pak Hamid turut berkongsi bagaimana nama tersebut melekat hingga ke hari ini.

"Ketika mula-mula baru masuk dalam tentera, saya berkawad bersama rakan-rakan lain seramai 40 orang yang mewakili satu platun. Seorang askar berpangkat Sarjan iaitu Sarjan Jantan dari Melaka ditugaskan melatih kami.

Setiap arahan kawad semuanya dalam bahasa Inggeris yang pada awalnya sukar untuk difahami menyebabkan saya sering melakukan kesalahan. Wajah saya pula ketika itu agak mirip askar-askar Gurkha dari Nepal.

Sarjan Jantan menyuruh kami mengangkat tangan untuk perkenalkan diri masing-masing. Tiba giliran saya, Sarjan Jantan terus berkata 'Haa engkau la si Gurkha tu selalu buat salah!", cerita beliau.

Menurut Pak Hamid, apabila kembali ke berek, rakan-rakan beliau sudah tidak memanggilnya dengan nama Hamid sebaliknya memanggil gelaran Gurkha.

Bertitik tolak daripada insiden itulah nama atau gelaran Gurkha menjadi sebahagian daripada diri Pak Hamid, dalam jatuh dan bangun dirinya dalam dunia anak seni sehingga kini.

SEJARAH HIDUP

Sememangya sejarah dan kehidupan seharian Pak Hamid tidak pernah lekang. Ada sahaja nasihat atau butir percakapannya akan dikaitkan dengan sejarah ketika zaman penjajahan dahulu.

Contohnya apabila bercakap soal kesetiaan negara, beliau menceritakan bagaimana sikap anak muda ketika itu yang sangat taat serta patuh dengan arahan daripada raja, ibu bapa serta tuan guru yang memberi ilmu kepada mereka.

Berbanding dengan anak muda sekarang, di mana sikap akur itu sendiri semakin terhapus dek kerana arus pemodenan yang sedikit sebanyak telah mengabaikan asuhan adab sopan daripada nenek moyang dahulu, kata beliau.

"Daun-daun pun dia orang tak kenal, daun kunyit, daun serai, daun pandan, daun pisang... semua tak kenal. Dulu orang Melayu ni nak hidup masa Jepun datang mesti ada ubi, keledek dan pisang untuk teruskan hidup.

Kain baju pun dulu susah nak dapat. Kalau seluar koyak tampal, koyak lagi tampal balik sampai tebal macam kusyen. Benang pun dulu ambil dari daun pokok nenas Sarawak," ceritanya lagi.

PERJALANAN SENI

Pak Hamid pernah dinobatkan sebagai Artis Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ketiga pada tahun 1982 kerana kesungguhan beliau dalam bidang seni.

Beliau mengakui bahawa bakat yang dimiliki adalah hasil usaha dan takdir buat dirinya kerana susur galur darah seni langsung tidak diwarisi daripada kedua ibubapanya.

Antara filem-filem yang pernah dijayakan adalah Gila-Gila pada 1979, Sikit Punya Gila (1982), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Ragam Pemandu (1989), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998), Senario The Movie (1999), Kemarau Cinta (2005), Salah Bapak (2006) Zombie Kampung Pisang dan terbaharu, Alamak Toyol.

Pak Hamid bakal berkongsi pengalaman beliau sebagai anak seni bergandingan dengan Datuk Jamali Syadat dalam program Sebutir Bintang Di Taman Seni anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia pada 21 Mac ini bertempat di Mini Auditorium, Matic, Jalan Ampang.

Program ini diadakan untuk mengimbau serta mengenang kembali sumbangan artis-artis yang satu ketika dahulu pernah mengharumkan industri hiburan tempatan dengan penglibatan pelajar-pelajar pelbagai institusi pendidikan negara.

--BERNAMA