Kementerian Pendidikan, LPM Patuhi Semua Keperluan Kendali Peperiksaan Awam

Last update: 12/01/2015

CYBERJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) diakui telah mengambil semua langkah perlu dalam mengendali peperiksaan awam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dimaklumkan mengenainya dalam taklimat awal berhubung siasatan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 oleh Pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Tun Zaki Azmi pada akhir tahun lepas.

"Pada peringkat awal, dia (Zaki) kata keseluruhannya tidaklah begitu serius. Banyak perkara kementerian dan LPM patuhi, cuma ada bidang-bidang yang mereka (jawatankuasa) masih siasat," kata Muhyiddin dalam sidang media selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2015 di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya dan Sekolah Menengah Cyberjaya di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata jawatankuasa itu dijangka mengemukakan laporan penuh hasil siasatan kebocoran kertas soalan UPSR 2014 serta cadangan penambahbaikan peperiksaan awam dalam masa terdekat.

"Kita tunggu laporan serta cadangan itu dan akan menelitinya sebelum dilaksanakan," katanya.

Jawatankuasa itu ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR 2014 sehingga menyebabkan calon terpaksa mengambil semula peperiksaan itu.

-- BERNAMA