UTHM Bina Telaga Air Tanah Atasi Masalah Bekalan Air Bersih

Last update: 08/01/2015

JOHOR BAHARU, 8 Jan (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membina telaga air tanah bagi mengatasi masalah sumber bekalan air bersih di sekolah-sekolah sekitar Gua Musang, Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini.

UTHM berkata misi itu yang dijayakan oleh sekumpulan pakar daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), menggunakan satu alat khas bagi membantu mengesan struktur tanah di kawasan berhampiran sekolah sebelum menggunakan mesin gerudi untuk mendapatkan bekalan air.

"Setakat ini, tiga telaga air tanah dibina di sekolah dalam daerah Gua Musang dan pihak universiti akan meneruskan usaha yang sama akan datang," kata UTHM dalam kenyataan di sini hari ini.

Pembinaan telaga di kawasan sekolah itu merupakan satu daripada misi bantuan pasca banjir yang digerakkan di bawah Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM yang mula beroperasi sejak 25 Dis lalu.

UTHM berkata fokus misi ketiga bantuan kemanusiaan kali ini ialah melakukan kerja-kerja pembersihan di beberapa buah sekolah di daerah itu memandangkan sesi persekolahan bagi tahun 2015 akan bermula beberapa hari sahaja lagi.

Menurut kenyataan itu, 100 sukarelawan yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hashim Saim telah melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Maahad Muhammadi sejak 6 Jan lepas.

UTHM dalam rangka kerjanya akan terus menghantar tenaga sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan di sekolah dan juga premis kerajaan sehingga keadaan kembali pulih.

Sehingga kini, Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM yang beroperasi 24 jam itu, telah mula menghantar bantuan kemanusiaan sejak 28 Dis lepas ke Kuala Lipis dan Temerloh di Pahang dan juga Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Orang ramai sekitar daerah Batu Pahat boleh menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir ke Pusat Gerakan Bencana Alam UTHM dengan menghubungi talian 07-4533442 (24 jam) atau e-mel opsbanjir@uthm.edu.my.

-- BERNAMA