UniMAP Bantu Bersihkan Sekolah Di Tumpat

Last update: 07/01/2015

TUMPAT, 7 Jan (Bernama) -- Sejumlah 2,000 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turun padang membantu membersihkan beberapa sekolah yang terjejas banjir di sini, bagi memastikan sesi persekolahan 2015 dapat bermula mengikut jadual Ahad ini.

Naib Canselor UniMAP Datuk Kamarudin Hussin berkata kerja-kerja pembersihan itu melibatkan lima fasa bermula sejak Khamis lepas hingga 21 Jan ini.

"Setiap fasa akan melibatkan kumpulan tertentu terdiri daripada pelajar sehinggalah kepada pensyarah, pelaksana dan seluruh kakitangan UniMAP," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan banjir di Sekolah Kebangsaan(SK) Kampung Laut di sini, Rabu.

Beliau berkata tiga buah sekolah yang dibersihkan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, SK Kampung Laut dan SK Delima.

"Kita bukan hanya memberi bantuan secara fizikal seperti kerja pembersihan tetapi juga bantuan membaiki kerosakan elektrik, kesihatan dan kaunseling kepada mangsa banjir," katanya.

Kamarudin berkata UniMAP turut mengumpulkan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada pelajar yang terjejas banjir berupa barangan kelengkapan sekolah seperti pakaian, alat tulis dan beg.

"Sebagai sebuah universiti, UniMAP akan menggerakkan pelbagai aktiviti penjanaan bagi memastikan semua pelajar yang terlibat dengan bencana banjir mendapat bantuan sewajarnya mengikut kemampuan," katanya.

Beliau berkata sebuah klinik akan dibuka di SMK Kampung Laut selepas sesi persekolahan bermula bagi memberi rawatan pesakit luar terutama kepada pelajar yang mungkin mengalami penyakit seperti jangkitan kulit.

UniMAP turut menggunakan pemindahan teknologi 'Unmanned Aerial Vehicle' (UAV) atau pesawat tanpa pemandu bagi memantau perkembangan dan impak banjir di Tumpat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Ab Aziz berkata sumbangan pasca banjir UniMAP itu amat membantu melancarkan kerja pembersihan sekolah yang terjejas banjir di kawasan berkenaan.

"Kami amat menghargai jasa dan kerjasama yang diberikan oleh UniMAP. Tanpa bantuan mereka, kemungkinan kerja pembersihan akan mengambil masa lebih lama.

"Sehingga kini hampir 60 peratus kerja pembersihan berjaya dilakukan dan saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan, ia akan meningkat sehingga 95 peratus dalam tempoh dua hari lagi sekali gus memberi kelegaan kepada pelajar dan ibu bapa untuk memulakan sesi persekolahan Ahad ini," katanya.

-- BERNAMA