UniMAP Jadual Semula Tarikh Peperiksaan Pelajar Terjejas Banjir

Last update: 28/12/2014

KANGAR, 28 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersetuju memberi pertimbangan khas kepada pelajarnya yang terkandas di kampung akibat banjir daripada menduduki peperiksaan akhir bermula esok.


Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata tarikh peperiksaan akan dijadualkan semula selepas banjir pulih.


Pengurusan universiti membuat keputusan ini berikutan ramai pelajar UniMAP yang bercuti di kampung terutama di Pantai Timur masih terkandas akibat banjir, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


"Pelajar yang terkandas dinasihatkan segera menghubungi Bilik Gerakan Banjir UniMAP di talian 04-9797777 untuk memberi butiran peribadi dan status semasa untuk dipanjangkan kepada Bahagian Akademik dan Pusat Pengajian masing-masing," katanya


Katanya selain Bilik Gerakan Banjir, pelajar juga boleh menghubungi Jabatan Keselamatan UniMAP di talian 04-979 8181/ 8571 atau Exco Kebajikan MPP (Hafizan) di talian 017-3329 655 untuk memaklumkan situasi mereka.


-- BERNAMA