Majlis Berkhatan Beramai-ramai: Tradisi Baru Menyokong Amalan Wajib

Last update: 25/12/2014

Oleh Murni Nasri


KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Setiap penggal cuti sekolah pasti ditandai dengan majlis perkahwinan, siaran kartun bermula seawal 8 pagi, kem cuti sekolah dan juga majlis berkhatan.


Baru-baru ini penulis berpeluang menyaksikan sendiri acara berkhatan beramai-ramai yang diadakan di Surau Ihsaniah, Kondo Rakyat, Lembah Pantai.


Jika sebelum ini, penulis hanya membaca mengenainya atau menonton acara ini disiarkan untuk beberapa saat di dalam berita, kali ini ia berbeza apabila anak penulis sendiri salah seorang pesertanya.


Majlis berkhatan perdana ini adalah atas anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Zon Tiga dengan kerjasama Surau Ihsaniah Blok 4 Kondo Rakyat dan Masjid Ikhlasiah, Jalan Pantai Murni dan Gerakan Belia 4B.


Acara yang pertama kali diadakan di atas kerjasama ini dirasmikan oleh Ketua UMNO Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.


Majlis Perwakilan Penduduk


Penaja dan penganjur majlis berkhatan perdana yang julung kali diadakan ini adalah Majlis Perwakilan Penduduk Zon Tiga Lembah Pantai.


Apabila ditanya tujuan ia diadakan, Jamsari Ahmad, Setiausaha Program Majlis Berkhatan Perdana ini dan timbalan pengerusi MPP Zon Tiga berkata : "Majlis ini diadakan bertujuan untuk merapatkan lagi silaraturrahim sesama penduduk di dalam zon tiga ini. Setelah berbincang, majlis telah bersetuju menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai ini sebagai agenda pertama setelah MPP ini dirasmikan penubuhannya pada bulan April tahun ini”.


Majlis Perwakilan Penduduk Zon Tiga ini dipengerusikan oleh Haji Muhammad Abdullah dan kawasan yang dibawah naungannya adalah bermula dari Kampung Kerinchi, Bukit Angkasa, PPR Permai, Pantai Hillpark dan Kondo Rakyat.


MPP Wilayah Persekutuan ini adalah di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan merupakan cetusan idea Datuk Raja Nong Chik ketika beliau memegang mandat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.


Antara objektif penubuhan MPP ini adalah bagi memastikan semua aktiviti modal insan dan kemasyarakatan dilaksanakan ke peringkat akar umbi, mewujudkan struktur komuniti yang mampu untuk melakukan kawal selia (self-governance community) serta menggalakkan penyertaan penduduk dalam pengurusan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.


Amalan Baru Tradisi Lama


Majlis berkhatan perdana ini bermula seawal 8 pagi untuk pendaftaran dan pemberian beg hadiah untuk setiap peserta.


Menurut Jamsari, seramai 60 peserta telah mendaftar iaitu 40 orang didaftarkan dengan Masjid Ikhlasiah manakala selebihnya didaftarkan dengan Surau Ihsaniah


Diperhatikan bukan sahaja para peserta khatan yang kelihatan resah dan runsing, ibu bapa juga ada yang kelihatan tidak senang duduk lebih-lebih lagi ia adalah pengalaman pertama mereka membawa anak bersunat, termasuklah penulis.


Keresahan dan kebimbangan kanak-kanak yang bakal melangkah ke alam dewasa ini hilang sebentar apabila mereka disembur dengan air daripada hos semburan Jabatan Bomba dan Penyelamat Lembah Pantai setelah mereka diraikan dalam satu perarakan sambil berselawat mengelilingi kawasan Blok 4.


Riuh-rendah suara keriangan kanak-kanak ini mengundang rasa ingin tahu para penduduk kawasan sekitar yang cuba merakamkan detik itu menggunakan telefon masing-masing, menambahkan lagi kemeriahan suasana pada hari itu.


Menunggu Giliran


Selesai bermandikan air semburan daripada hos bomba yang sejuk, para peserta diminta menukar pakaian kepada kain pelekat dan kemeja-t.


Kehadiran empat orang doktor dan pembantu mereka dari Wawasan Medic dengan kelengkapan perubatan menambah debar di dada para peserta dan ibu bapa mereka.


Bagi memberikan kegembiraan dan sebagai upah keberanian kanak-kanak ini, mereka diberikan sumbangan sebanyak RM20, pulut kuning dan bunga telur sebelum dipanggil masuk.


Walaupun ketika berada di dalam bilik terdengar tangisan dan jeritan, namun apabila selesai, rasa lega dan bangga jelas terpancar di wajah masing-masing.


Ternyata kelegaan dan kebanggaan ini turut dirasai dan ditunjukkan oleh ibu bapa yang sama-sama hadir memberikan sokongan kepada anak-anak mereka dan diharapkan tradisi yang menyokong amalan berkhatan ini diteruskan sampai bila-bila.


--BERNAMA