Warga Kerja Bernama Perlu Terbuka Terima Teguran

Last update: 22/12/2014

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terutama wartawan perlu terbuka menerima teguran daripada ketua jabatan masing-masing agar agensi berita itu terus kekal relevan sebagai sumber berita rasmi yang disegani.

Bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata setiap teguran yang diberikan adalah bertujuan untuk membawa perubahan yang lebih baik bukan sahaja kepada agensi, bahkan kepada warga kerja pertubuhan itu.



"Misalnya dalam dunia kewartawanan, 'deadline' sangat penting dan kadang kala tekanan yang dialami oleh 'senior' itu sangat kuat. Oleh itu, dalam kerjaya kewartawanan ini kita mesti bersedia untuk menerima teguran kalau tidak bagaimana kita hendak belajar.

"Jadi, kalau ada 'senior' pula yang memberi teguran, perkara itu mesti diambil dengan minda yang terbuka supaya kita boleh melakukan apa-apa tugasan dengan lebih baik," kata Yong kepada pemberita pada majlis meraikan persaraannya di Wisma Bernama, di sini Isnin.

Yong, yang telah berkhidmat selama 40 tahun di Bernama turut mengingatkan agar warga kerja di agensi berita itu berusaha menunjukkan prestasi yang terbaik dan menjaga reputasi pertubuhan itu.



"Sekiranya kita seorang wartawan, kita jangan jadi 'consumer' terhadap berita yang ditulis oleh orang lain, sebaliknya kita mestilah berikhtiar untuk melakukan sesuatu agar lebih ramai yang membaca dan melihat berita kita," katanya.

Yong yang bersara wajib pada Oktober lepas berkata sekiranya perkara itu menjadi pegangan bagi setiap wartawan, ia akan memberikan manfaat dan menjadikan pertubuhan itu lebih masyhur.

"Inilah perkara yang sangat penting. Apabila kita sering berusaha memberikan prestasi terbaik, pada masa akan datang apabila kita ditawarkan tugasan yang lebih berat, kita boleh melakukannya dengan cemerlang dan sempurna," katanya.

Yong, menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada 1974 sebelum menjadi Penolong Editor pada 1993, Editor pada 1997 dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi pada 2004.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengarang selama enam tahun dari 1 Mac 2007 hingga 14 Mac 2013 dan Pengurus Besar pada 1 Jan 2013.

-- BERNAMA