Perniagaan Keluarga : Minat Dua Beradik

Last update: 18/12/2014

Oleh Murni Nasri


JOHOR BAHARU, 18 Dis (Bernama) -- Sarwani Mahmood dan kakaknya Juraidah bukanlah orang terkemuka yang mempunyai ramai peminat namun mereka tetap menyerlah dengan cara tersendiri.


Sarwani yang berusia 30 tahun dan Juraidah, 33, merupakan tulang belakang kepada perniagaan keluarga mereka, Perusahaan Sinarmaju.


Syarikat ini mengeluarkan air minuman asam jawa Nagato yang dijual di kedai-kedai runcit, kedai Petronas dan 7-eleven di seluruh Semenanjung Malaysia.


Sarwani atau Wani adalah Pengurus Operasi dan Sumber Manusia Perniagaan Sinarmaju, sementara Juraidah atau Jue bertugas sebagai pengurus kepada syarikat ini.


Perusahaan ini beroperasi dari kawasan rumah keluarga mereka di Kampung Sinaran Baru di Skudai sejak ia mula dibuka kira-kira 26 tahun yang lalu.


Perniagaan Keluarga


Ibu bapa mereka, Mahmood Ab Ghani dan Kartini Talka menubuhkan Perusahaan Sinarmaju pada tahun 1980.


“Ibu bapa kami memang suka berniaga. Ayah menjual pelbagai jenis barang, dari menjual kain sehinggalah menjual kayu, sebagai kerja sampingan semasa beliau masih bekerja di Singapura pada ketika itu.


Tetapi perniagaan itu tidak kekal sehinggalah beliau memulakan Perusahaan Sinarmaju dalam tahun 1980. Beliau dikatakan sebagai orang Melayu pertama yang menjadi pengeluar sardin dalam tin,” Wani memberitahu Bernama di dalam satu temuramah baru-baru ini.


Syarikat ini dibayar oleh Kementerian Pertahanan untuk mengeluarkan sardin dalam tin dan ia berlanjutan sehingga lebih kurang tujuh tahun, tambah Jue, tetapi disebabkan kos pengilangan yang semakin meningkat, Perusahaan Sinarmaju terpaksa menukar haluan.


Ketika itulah ibu bapa mereka mengambil keputusan untuk menumpukan pengeluaran kepada jus minuman asam jawa, kata Jue.


Pembantu Muda


Kedua-dua beradik ini dan adik beradik mereka yang lain mendapat latihan awal di dalam perniagaan. “Saya mula membantu ketika berusia enam tahun. Bersama adik-beradik yang lain, kami akan membantu membungkus sehinggalah mempromosikan produk-produk syarikat di pasar-pasar tani sekitar Johor Baharu,” kata Wani.


Semasa temubual, penulis terlihat keratan akhbar di dalam sebuah bingkai gambar yang di gantung pada dinding pejabat dengan tajuk berita ‘Cara Baru Perkenal Barangan Keluaran Keluarga’ bertarikh 18 Jan, 1990.


Apabila ditanya tentang keratan akhbar itu, Wani berkata: “Itu gambar kami yang diambil oleh seorang jurugambar akhbar. Saya berusia enam tahun dan sedang membantu ibu bapa kami mempromosikan produk-produk kami di pasar tani”.


Kedua-dua beradik ini memulakan hari seawal 6 pagi untuk pergi ke pasar-pasar tani ini, kata Jue.


Sesampainya di lokasi, Wani akan memakai papan sandwic yang bertulis harga barang-barang syarikat mereka sementara Jue pula akan membunyikan loceng dan mereka berdua berjalan-jalan di sekitar pasar, memaklumkan kepada orang ramai di mana untuk mendapatkan produk-produk tersebut.


Kerana Kasih Dan Sayang


Sebagai pengurus Perusahaan Sinarmaju, Jue memastikan kelancaran keseluruhan operasi syarikat dari aspek pengeluaran sehinggalah kepada perkhidmatan pelanggan, sementara Wani memfokus kepada operasi kilang dan sumber manusia.


Apabila ditanya jika beliau teringin bekerja dengan orang lain, Jue berkata: “Saya suka berbisnes dan suka bekerja dalam bisnes keluarga. Saya tidak menyesal. Saya yakin dengan syarikat ini dan mahu mengembangkan perniagaan ini”.


Menurut Jue, beliau ada menerima tawaran untuk menyambung pelajaran tetapi menolaknya untuk membantu membangunkan syarikat.


Manakala Wani pula menyambung pelajaran di dalam bidang sumber manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan mula bekerja secara sepenuh masa di syarikat selepas menamatkan pengajian.


“Saya memang suka belajar dan merasakan saya perlu melanjutkan pelajaran supaya dapat menggunakan semula pengetahuan yang diperolehi di dalam syarikat yang saya cintai ini,” Wani berkongsi cerita.


Jus Minuman Nagato


Perusahaan Sinarmaju mengeluarkan produk jus yang dibotolkan iaitu jus mangga, durian belanda, nangka, laici, betik, tembikai dan jus yang sangat laku, jus asam jawa dan asam kecut.


“Buat masa ini, kami menumpukan pengeluaran terhadap jus asam jawa dan asam kecut. Kami menerima banyak tempahan untuk kedua-dua produk ini sejauh Terengganu,” tambah Wani.


Sejak awal penubuhannya, Perusahaan Sinarmaju telah menerima sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian, kata Wani.


Sokongan yang diterima adalah dalam bentuk bantuan kewangan, pemasaran, nasihat, fasiliti dan infrastruktur, tambah Wani.


Pada awal penubuhannya, Perusahaan Sinarmaju bergantung kepada tenaga kerja pengasas dan anak-anak mereka bagi memerah jus dan membotolkannya tetapi kini mereka mempunyai mesin-mesin automatik yang melakukan semua kerja tersebut, hasil bantuan daripada badan-badan kerajaan ini, kata Wani.


Menghadapi Cabaran


Apabila ditanya mengenai cabaran terbesar dan paling sukar yang pernah mereka hadapi semasa menguruskan syarikat ini, Jue berkata: “Kami pernah menerima tempahan sebanyak 1,000 karton minuman untuk dihantar ke Pahang dan kami berjaya menyiapkan tempahan itu.


Tetapi tempahan itu rosak disebabkan di kawasan pelanggan kami itu dinaiki air banjir dan pelanggan tersebut menghantar semula tempahan yang belum dibayar itu kepada kami. Kami terpaksa menerimanya kembali dan mengeluarkan tempahan baru.”


Pengalaman ini benar-benar mengajar mereka, kata Wani, dan mereka memang sudah sedia maklum yang cabaran memang akan ada di dalam perniagaan.


“Ia adalah asam garam dalam perniagaan. Untuk kami bergerak ke hadapan, kami perlu menghadapi semua cabaran ini, sesukar atau sebesar manapun ia, kami perlu bersabar. Mengalah tidak sepatutnya berlaku,” kata Wani.


Apabila ditanya jika ada satu nasihat yang beliau boleh berikan kepada generasi muda yang terlibat dalam perniagaan, Jue berkata: “Kita mesti yakin dengan apa yang kita lakukan, percaya dengan diri, perlu ada sasaran dan minat dengan apa yang dilakukan supaya apabila menghadapi cabaran, kita tidak lemah semangat. Bangkit dan bergerak ke hadapan sehingga kita berjaya”.


Nagato Minuman Asam Jawa oleh Perusahaan Sinarmaju boleh dihubungi di Facebook.


--BERNAMA