Empat Usahawan Kelantan Bakal Tembusi Pasaran Antarabangsa Pada 2015

Last update: 17/12/2014

KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) -- Empat syarikat kraftangan Kelantan bakal menembusi pasaran antarabangsa tahun depan dengan menampilkan produk rekaan baharu berasaskan batik.


Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Juhari Azmi berkata empat syarikat berkenaan ialah SMSB Jaya Edar, Bateras Design, Ayu fashion dan AZ Batik.


"Usahawan-usahawan ini akan menyertai pereka fesyen terkenal negara, Datuk Radzuan Radziwill untuk mencari rekaan terbaharu di luar negara seperti di Eropah.


"Mereka seterusnya akan membuat pembaharuan tetapi masih mengekalkan keaslian batik Kelantan bagi menghasilkan produk unik dan eksklusif.


"Selepas itu, produk berkenaan akan dipasarkan ke luar negara yang dijangkakan pada tahun depan," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini, pada Rabu.


Juhari menyifatkan langkah tersebut sebagai salah satu usaha pihaknya untuk memperluaskan pasaran usahawan Kelantan ke luar negara.


"Malah, pada tahun depan, kita juga akan memperkenalkan Skim Latihan Jangka Pendek (SLJP) sebagai usaha mempertingkatkan pengeluaran selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


"Usahawan terbabit akan mencari beberapa pelatih dan melatih mereka menjadi pekerja mahir dalam tempoh tiga hingga enam bulan.


"Sepanjang tempoh latihan, mereka diberi elaun bulanan sebanyak RM450," katanya.


Juhari berkata pihaknya turut menyasarkan RM120 juta nilai jualan produk kraftangan negeri ini tahun depan berbanding RM100.7 juta, tahun ini.


"Kami yakin dapat mencapai sasaran tersebut memandangkan pelbagai promosi dan festival akan dianjurkan sepanjang 2015," katanya.


Menurutnya, sehingga November lalu sebanyak RM120 juta nilai jualan hasil produk kraftangan tempatan telah berjaya dicapai.


Pihaknya turut menyasarkan lebih 400 rekaan baharu akan diperkenalkan pada 2015 berbanding 300 rekaan pada 2014.


-- BERNAMA