Memanah: Recurve/Compound Berpasukan Lelaki, Wanita Raih Tiga Emas

Last update: 17/12/2014

PALEMBANG, 17 Dis (Bernama) -- Hasrat pasukan memanah Malaysia untuk membolot bersih empat pingat emas tidak tercapai apabila hanya tiga pasukan sahaja yang mencatat kemenangan dalam pertemuan final Sukan Universiti Asean (AUG) Ke-17 Palembang di sini, Rabu.

Trio berpasukan compound wanita, compound lelaki, dan recurve wanita meraih pingat emas itu dengan menewaskan pencabar mereka kesemuanya merupakan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Gandingan Norhayati Al-Madinah Hashim, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Chom Nong menepati ramalan setelah menewaskan Dellie Threesayadinda, Ervin Rulis, Yuli Purnama Sari yang menang pingat perak dengan 14-10.

Pasukan Laos terdiri daripada Daophasouk, Amphaiphone, Aip meraih pingat gangsa percuma tanpa bertanding berikutan hanya tiga negara sahaja yang menyertai bagi acara itu.

Bagi trio compound lelaki pula, Ahmad Aliff Fadhulullah Alwi, Ahmad Syafiq Azim Saeri, Lutfil Hadi Mohd Yusof membuat kejutan dalam penampilan pertama mereka mencatat kemenangan menewaskan Yoke Rizaldi Akbar, Catur Wuri Adi Nughoro, Suryono Ali dengan mencatat 12-11 untuk pingat emas.

Trio Singapura mengalahkan Laos 10-7 untuk pingat gangsa.

Dalam saingan recurve wanita, trio negara terdiri daripada Azuanis Abdullah, Siti Nurul Asiah Mahmod dan Shahira Abdul Halim mudah menewaskan Titik Kusumawardani, Erwina Safitri, Yulia Anggraini 5-1 dalam satu lagi final.

Trio Singapura meraih pingat gangsa percuma apabila hanya tiga negara sahaja yang sertai bagi acara recurve wanita itu.

Namun, Haziq Kamaruddin, Muhammad Shaifuddin Mohd Kamro, Atiq Bazil Bakri terpaksa berpuas hati dengan pencapaian pingat perak selepas kalah kepada trio Indonesia, Riau Ega Salsabila, Muhammad Hanif Wijaya, Irivaldi Annanda Putera dengan mata 2-5.

Pingat gangsa pula menjadi milik Singapura berikutan hanya tiga pasukan sahaja yang menyertai acara itu.

Pengurus pasukan, Suhardi Abdullah berkata secara keseluruhan atlet memanah negara memberikan komitmen tinggi untuk terus mendominasi pungutan pingat pada temasya dwitahunan itu.

"Pasukan compound lelaki negara membuat kejutan, kita tidak meletak sasaran kepada mereka namun, mereka berjaya meraih pingat emas tetapi trio reurve lelaki tidak bernasib baik apabila sekadar pingat perak.

"Tetapi, bagi acara recurve lelaki itu, trio Indonesia menghantar dua atlet elit mereka. Kita hanya ada Haziq sahaja yang mempunyai pengalaman bersaing dalam kejohanan lebih berprestasi tinggi namun, gandingan mereka tetap memberikan saingan sengit hari ini" katanya.

-- BERNAMA