Mengenali Budaya Jepun Di Malaysia

Last update: 17/12/2014

Oleh Intan Farhana Kamal Effendy



JOHOR BAHARU (Bernama) -- Pengalaman berhijrah ke negara jiran bukanlah satu perkara yang mudah, akan tetapi bagi Hideaki Fujita, 65, peluang bertugas di Malaysia merupakan sesuatu yang amat istimewa baginya.


Guru Besar Sekolah Jepun Johor itu yang sudah lapan bulan menetap di negeri ini menyifatkan perpindahan kali ini sebagai satu pengalaman yang menarik baginya.


Walaupun pernah menjadi guru besar di dua buah sekolah Jepun masing-masing di Thailand dan Switzerland, hatinya lebih gembira untuk berkhidmat di negara ini.


Fujita mungkin antara ribuan rakyat Malaysia dan Jepun yang sama-sama menikmati kesan daripada "hubungan istimewa" antara kedua-dua negara ini yang kini masuk ke gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur sejak diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 1980-an.



MANFAAT DASAR PANDANG KE TIMUR KEPADA NEGARA



Fujita, yang berasal dari wilayah Saitama di Pulau Honshu, memuji keramahan rakyat Malaysia, satu ciri yang turut dimiliki rakyat Jepun.


Menyentuh mengenai Dasar Pandang ke Timur itu, beliau menyokong agar dasar ini diteruskan terutama dalam memperkenalkan budaya masing-masing yang unik dan bernilai itu.


"Saya harap Dasar Pandang ke Timur ini akan lama bertahan supaya generasi muda dapat terus merasai kenikmatan dasar ini," kata beliau dalam satu temuramah bersama Bernama baru-baru ini.


Salah satu pendekatan yang diambil Fujita adalah dengan mengadakan program pertukaran pelajar yang merupakan aktiviti wajib di sekolah berkenaan.



PROGRAM JALINAN ANTARABANGSA BERI PELUANG KENALI BUDAYA



Dalam saling menghargai satu sama lain, program jalinan antarabangsa antara Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Alam Satu dan Sekolah Jepun Johor diadakan pada 4 Nov lepas.


Sejumlah 58 orang pelajar serta tenaga pengajar daripada kedua-dua sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam acara tahunan itu yang diadakan sejak 1997.


Antara aktiviti yang menampilkan keunikan budaya negara Matahari Terbit itu, termasuk permainan tradisional seperti Kendama Koma, Sumo One Legged, Sumo Push, Sumo Paper, dan Origami Jepun.


Selain itu, pelajar yang hadir ke program itu juga diajar serba sedikit untuk berkomunikasi dalam bahasa Jepun, memakai pakaian tradisonal seperti kimono dan merasai sendiri makanan Jepun.


"Sebagai guru besar, saya bertanggungjawab untuk memastikan budaya di Jepun tidak akan dilupakan oleh para pelajar di sekolah ini, oleh itu, kami menyediakan pelbagai aktiviti supaya budaya ini dapat diteruskan golongan belia," kata Fujita.



DRAMA, MUZIK BERI PENDEDAHAN RAKYAT LUAR MENGENAI JEPUN



Fujita, bapa kepada tiga orang anak dan datuk kepada tiga cucu itu, berasa gembira kerana Jepun mendapat tempat di hati rakyat Malaysia menerusi drama dan muzik.


Walaupun teknologi moden masa kini telah memberi impak besar kepada masyarakat, beliau berpendapat budaya dahulu tidak harus dilupakan dan terus menjadi pedoman generasi masa kini.


Bagi Mohd Harris Iso, 12, yang bapanya dari Jepun dan dan ibunya Melayu, beliau tidak kekok untuk memperkenalkan budaya Jepun kepada para pelajar yang hadir walaupun tidak fasih berbahasa Jepun.


"Di rumah, kami sering berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, jadi tidak menjadi masalah kepada saya untuk bergaul kerana ini merupakan pengalaman yang menarik bagi kami," katanya yang berpendapat adalah baik untuk mengenali keunikan budaya lain.


"Mungkin, banyak yang boleh dipelajari oleh golongan belia seperti saya tentang keunikan budaya selain daripada budaya Jepun, apa yang menarik harus dikongsi bersama," kata Mohd Harris lagi.


-- BERNAMA