UTHM Rai Kejayaan Berganda

Last update: 16/12/2014

KUALA LUMPUR, Dis 16 (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Selasa mengharumkan pendidikan tinggi negara di persada antarabangsa apabila mendapat pengiktirafan lima bintang dalam audit oleh Quacquarelli Symonds (QS) Star Rating dari OS Intelligence Unit, London.

UTHM juga muncul sebagai juara keseluruhan dalam Pertandingan MyInovasi 2014 anjuran Kementerian Pendidikan yang berakhir Selasa.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM Tan Sri Dr Jamilus Md Hussin berkata pengumuman kedua-dua kejayaan itu dimaklumkan kepada pihak universiti tengah hari tadi.

"Ia satu kejayaan yang sangat membanggakan jika dilihat dari sudut usia penubuhan universiti ini yang baru menjangkau dua dekad.



"Keputusan audit ini sekaligus membuktikan keupayaan UTHM untuk bergerak setanding dengan universiti ternama lain di dalam dan luar negara serta membuktikan keupayaan UTHM untuk menjadi sebuah universiti bertaraf dunia di masa akan datang, kata beliau dalam satu temu bual di Wisma Bernama di sini, Selasa.


UTHM yang berpusat di Batu Pahat, Johor menerima penarafan lima bintang untuk kriteria pengajaran, fasiliti dan inovasi.



Ia juga mendapat status tiga bintang bagi markah keseluruhan untuk lapan kriteria yang diaudit, seperti penyelidikan, kebolehpasaran pekerjaan, pengajaran dan fasiliti.



Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin yang turut serta dalam temu bual itu berkata pengiktirafan antarabangsa itu akan menaikkan status dan memperkukuh kedudukan universiti teknikal itu dalam menjadi universiti pilihan orang ramai.



Sementara itu, UTHM yang menyertai Pertandingan MyInovasi 2014 buat pertama kalinya tahun ini, telah mempertandingkan empat inovasi iaitu 'coconut scalping machine', mesin pembuang sisik ikan, tongkat keselamatan motosikal automatik dan pewarna untuk cat yang diperbuat daripada abu kelapa sawit.



Keempat-empat ciptaan itu memenangi hadiah yang keseluruhannya bernilai RM50,000 dan bantuan untuk mempatenkan produk-produk berkenaan.


Pertandingan yang berlangsung dari 14 Dis hingga hari ini itu menarik sebanyak 1,250 penyertaan.



UTHM yang bermula sebagai Pusat Latihan Staff Politeknik pada tahun 1993 sebelum dinaik taraf dan dikenali sebagai UTHM pada 2007 kini menawarkan lapan jurusan teknikal daripada peringkat Diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah.

Lapan fakulti itu ialah, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan.



Universiti itu kini menpunyai 16,000 pelajar dan 550 daripadanya adalah pelajar luar negara.

-- BERNAMA