Semarakkan Semangat Kekitaan Warga ASEAN

Last update: 15/12/2014

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Chomreabsuor! Kumoosta! Hello! Sawatdee! Apa Khabar! Chao! Mingalaba! Sabaadii!; ini adalah senarai ucapan salam mewakili 10 negara anggota ASEAN dengan tiga - Malaysia, Indonesia dan Brunei - berkongsi ucapan "Apa Khabar".

Seseorang akan dapat mendengar ucapan-ucapan berkenaan apabila berada di negara-negara anggota AsEAN ini yang terdiri daripada; Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja, apabila konsep Komuniti ASEAN secara rasmi ditubuhkan pada 31 Dis 2015.

Variasi bahasa, agama, budaya serta taraf ekonomi antara negara-negara anggota tidak menjadi penghalang kepada pertubuhan dengan jumlah penduduknya 620 juta ini mengorak langkah dalam satu persamaan identiti sebagai Komuniti ASEAN.

Konsep Komuniti ASEAN bermatlamat untuk menyemarakkan lagi semangat kekitaan bagi semua rakyat negara-negara anggota ASEAN terhadap organisasi ini, selain membawa ASEAN lebih dekat kepada rakyat.

Ini akan dilakukan menerusi tiga tunggak utama iaitu; Komuniti Politik dan Keselamatan, Komuniti Sosio-Budaya dan Komuniti Ekonomi dalam semangat Komuniti ASEAN bagi meleraikan segala perbezaan yang wujud dan berusaha bagi menjalin kerjasama dalam bidang yang berkenaan.


KOMUNITI POLITIK DAN KESELAMATAN

Sedar atau tidak, rakyat ASEAN, khususnya Malaysia, sebenarnya sudah lama menikmati faedah daripada kerjasama menerusi tunggak politik dan keselamatan.

Antaranya ialah 'open sky policy' bagi pesawat penumpang selain kebebasan bergerak ke negara-negara ASEAN yang lain tanpa visa kecuali Myanmar.

"Kestabilan politik di rantau ini wujud hasil kerjasama dan kesefahaman antara negara-negara ASEAN.

"Apabila wujud satu suasana politik yang stabil, maka kita rakyat dapatlah menikmati pembangunan ekonomi dan menjalankan kerja-kerja seharian kita," kata Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (AMNS) Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaacob kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam menghadapi era Komuniti ASEAN, isu keselamatan serantau akan terus diperjuangkan ASEAN terutama dalam isu nuklear iaitu meminta negara-negara kuasa nuklear menandatangani perjanjian Zon Bebas Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).


KOMUNITI SOSIO-BUDAYA

Antara keutamaan yang diberikan dalam aspek sosio-budaya ialah warisan budaya, alam sekitar dan sumber asli, peningkatan kualiti hidup dan pembangunan sumber manusia.

Ini termasuk aktiviti melibatkan golongan belia menerusi Program Pertukaran Belia ASEAN dan Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) yang memberi tumpuan kepada kemahiran, kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelaan.

Sukan juga, yang menjadi medan penghubung rakyat ASEAN seperti Kejohanan Bolasepak Piala AFF Suzuki, Sukan SEA dan Sukan Universiti ASEAN, akan terus dianjurkan.


KOMUNITI EKONOMI

Dari segi ekonomi, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan, menyasarkan pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerajaan sendiri menggesa 643,000 usahawan PKS tempatan untuk berusaha menembusi pasaran ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) kelak menawarkan peluang besar kepada PKS Malaysia.

"Sebagai satu pasaran tunggal, jumlah perdagangan ASEAN bernilai US$2.5 trilion (US$1=RM3.34) dengan unjuran pertumbuhan KDNK tahunan lebih lima peratus," katanya semasa majlis anugerah 'The Enterprise 50' baru-baru ini.

ASEAN dan negara-negara jirannya juga sedang berunding untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Apabila dimuktamadkan kelak, RCEP akan membentuk satu kumpulan dagangan dengan saiz pasaran lebih tiga bilion dan gabungan KDNK lebih US$21 trilion, menyumbang kepada hampir separuh daripada perdagangan dunia.

"Syarikat Malaysia harus menerima dengan terbuka AEC dan integrasi Asia Timur. Integrasi ekonomi akan membuka peluang perniagaan baharu dan mewujudkan nilai yang lebih besar kepada perniagaan kita," katanya lagi.


PENGERUSI ASEAN

Malaysia, seperti yang diketahui umum, akan menggalas tugas sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan. Meskipun kepengerusian itu adalah berdasarkan sistem giliran, tugas yang menanti negara bukanlah mudah.

Dua tanggungjawab penting sebagai pengerusi adalah memastikan visi ASEAN selepas 2015 didokumenkan, selain memantau pelaksanaan pelan-pelan tindakan di bawah halatuju ASEAN 2009-2015.

"Kita sebagai pengerusi kita cuba untuk menerajui, memberi kepimpinan kepada proses itu, tetapi harus diingat ASEAN berdasarkan konsensus bersama, ataupun muafakat, jadi kita perlu kepada kerjasama yang rapat daripada negara anggota ASEAN yang lain," jelas Muhammad Shahrul.

Malaysia bersiap sedia untuk menggalas tugas sebagai pengerusi ASEAN 2015 dengan membuat persediaan dari awal di samping berjumpa dengan kumpulan-kumpulan berkepentingan yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pemikir, kumpulan belia dan kumpulan media.

-- BERNAMA