Cara Menyedia Persekitaran Terbaik Untuk Si Kucing

Last update: 12/12/2014

Oleh Salbiah Said


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Karisma yang dimiliki seekor kucing adalah tarikan buat manusia untuk membelanya dan karisma ini jugalah yang menyebabkan haiwan ini sangat menyeronok dan menarik untuk dipelihara.

Persekitaran yang selesa dan sempurna sangat bermakna buat kucing peliharaan dan haiwan ini juga memerlukan sentuhan mesra dan kasih sayang daripada seorang doktor haiwan.

Pemanduan santai ke Seri Kembangan membawa anda ke sebuah tempat yang menjadi rumah kedua kepada haiwan peliharaan ini. Anda akan terus melupakan rasa mengah mendaki tangga yang tinggi untuk sampai ke tempat tersebut sebaik sahaja kaki melangkah memasuki syurga buat kucing-kucing ini.

Kehadiran anda dan kucing kesayangan di tempat itu disambut mesra oleh seorang atenden lelaki yang peramah dari arah meja beliau dengan diperhatikan oleh seekor kucing Parsi berwarna perang yang sedang duduk selesa di sebelahnya.

Beberapa ekor kucing duduk di suatu sudut dan ada yang bermain sembunyi-sembunyi di sebalik kabinet, yang menandakan mereka sangat selesa di dalam persekitaran itu. Hanya ada sebuah sofa untuk para pengunjung namun biasanya tuan punya kucing yang datang duduk di atas lantai.


TIDAK MELAWAN

Para pemilik kucing peliharaan yang datang ke Klinik Haiwan & Surgeri Taman Equine di Bandar Baru Permai, Seri Kembangan tidak akan terasa masa berlalu begitu cepat memandangkan mereka terhibur melihat keletah kucing-kucing yang ada di situ semasa menunggu giliran untuk bertemu doktor.

Klinik ini sudah berpindah ke bangunan yang baru sejak 30 Nov lepas, yang terletak di belakang bangunan lama di mana klinik ini beroperasi sebelum ini.

Selamat berkenalan dengan Dr Zulkifli Nizam (Dr Zul), yang akan menunjukkan cara terbaik untuk menjaga kucing kesayangan anda.

Beliau, yang juga seorang pencinta kucing, memulakan pemeriksaan dengan lafaz Bismillah (Dengan nama Allah) dan dengan lembut melakukan pemeriksaan ke atas Putih, kucing peliharaan penulis yang berbulu putih bak salju, daripada baka Parsi Doll Face, semasa kunjungan ke klinik berkenaan baru-baru ini.

Putih yang berusia tiga tahun langsung tidak melawan seolah-olah terpukau dengan sentuhan magis Dr Zul.

Putih, yang juga terserlah dengan sepasang mata berlainan warna - kiri berwarna biru dan kanan berwarna kuning - dahulu adalah kucing peliharaan jiran penulis. Tetapi lama kelamaan ia menjadi pengunjung setia rumah penulis yang suka memberi makan kepada kucing-kucing yang ada di kawasan kejiranan beliau.

Putih yang dikategorikan oleh Dr Zul sebagai kucing jalanan kerana ia tidak diam di dalam rumah, menghidap jangkitan fungus yang biasa terjadi kepada haiwan peliharaan ini. Fungus tersebut menjangkiti telinga dan muka Putih.


SEMUANYA DARIPADA ALLAH

Daripada cara beliau memegang Putih, Dr Zul menyatukan seni memegang haiwan peliharaan semasa beliau menuntut di Fakulti Perubatan Veterinar di UPM dan rasa kasihnya terhadap kucing.

"Segalanya daripada Allah," kata Dr Zul. Pakar bedah haiwan yang berusia 31 tahun ini adalah graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beliau berasal dari sebuah keluarga yang sayangkan haiwan. Ibu bapa Dr Zul adalah peneroka Felda yang menetap di Jempol, Negeri Sembilan.

"Biasanya ia cinta pandang pertama bagi kucing yang baru melihat tuannya. Seolah-olah mereka dapat melihat satu aura istimewa yang ia tidak dapat tolak. Aura istimewa ini yang membolehkan anda menjinakkan kucing yang garang, InsyaAllah (dengan izin Allah)," beliau memberitahu Bernama dalam temubual baru-baru ini.

Dr Zul tidak terus memulakan kerjaya sebagai pakar bedah haiwan selepas beliau menamatkan pengajian pada 2007 dan melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Sebaliknya beliau menumpukan perhatian terhadap perniagaan jual beli dan pemprosesan farmaseutikal untuk haiwan-haiwan herbivor.

Pada awalnya beliau mempelajari semua aspek sains veterinari termasuklah menjalani program yang melibatkan seorang mentor yang 12 tahun lebih berusia daripadanya, di bawah naungan UPM. Selama tiga hingga ke empat tahun, beliau memberikan perkhidmatan rundingan farmaseutikal kepada klinik-klinik kerajaan.

"Tetapi naluri saya mengatakan yang saya mesti fokus kepada kucing," kata Dr Zul, yang membuktikan perniagaan klinik haiwannya masih terus bertahan sehingga ke hari ini.


BAGAIMANA IA BERMULA

Segalanya bermula apabila Dr Zul membawa sekor daripada kucing kesayangannya untuk merawat jangkitan fungus di sebuah klinik haiwan swasta. Beliau maklum yang kucingnya mengalami jangkitan ini, tetapi kecewa kerana doktor tidak memberikan ubat yang sebetulnya untuk merawat jangkitan itu.

Kesannya, fungus itu merebak ke bahagian badan yang lain, menyebabkan kucing kesayangan beliau mengalami kegatalan dan keguguran bulu badan selama tiga minggu, kata Dr Zul yang pada ketika itu memelihara lapan ekor kucing. Hanya selepas tiga kali berkunjung ke klinik itu barulah doktor memberi ubat yang betul.

Episod ini menjadi titik tolak buat Dr Zul, yang mengambil keputusan untuk segera melakukan sesuatu. Beliau mengambil keputusan untuk beroperasi dari rumah dan pada masa yang sama bekerja secara separuh masa dengan sebuah syarikat swasta pada waktu malam untuk beberapa bulan.

Menggunakan Facebook dengan slogan 'Tanya Sama Vet', Dr Zul memberikan jaminan yang beliau beroperasi mengikut tatakelakuan sebenar veterinari.

Beliau bekerja dari rumah selama setahun setengah, melakukan rawatan asas, dengan kes-kes kronik dirujukkan kepada UPM. Sehingga kini beliau masih lagi bekerjasama dengan UPM.


PELUANG DATANG MENJENGAH

Pada tahun 2011, satu peluang datang menjengah. Dr Zul memulakan perniagaan beliau dengan membuka Klinik Haiwan & Surgeri Taman Equine di Seri Kembangan dengan sebahagian dana dipinjamkan oleh abang ipar dan selebihnya dari simpanan sendiri.

Dengan kerjasama UPM, kebanyakan kes besar dirujukkan kepada universiti tersebut manakala UTM akan memberikan kes-kes kecil kepada klinik beliau.

Hari ini, Dr Zul dan tiga doktor lagi memberikan perkhidmatan rawatan umum dan pembedahan. Melihat kepada perkembangan perniagaannya ini, Dr Zul membuka sebuah cawangan iaitu Klinik Haiwan I-City Shah Alam tahun lepas menggunakan modal sendiri.

Keseluruhannya, ada 13 kakitangan yang bertugas di kedua-dua buah klinik beliau di Seri Kembangan dan Shah Alam. Secara puratanya, beliau merawat antara 70 hingga 100 ekor kucing sehari.

"Alhamdulillah, sambutan daripada orang awam sangat menggalakkan," kata Dr Zul, yang juga muncul dalam sebuah segmen 15 minit 'Dr Meow' dalam rancangan bual bicara pagi di TV9, 'Nasi Lemak Kopi O'.


NASI LEMAK KOPI O

Dr Zul berkata penerbit Nasi Lemak Kopi O memberi masa untuk beliau ke udara setiap hari Ahad dari bulan Januari sehingga Disember tahun ini dalam rancangan itu yang bermula pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Sejak kemunculan beliau, rating untuk slot Dr Meow meningkat. Menurut Dr Zul peningkatan itu disebabkan pendekatan yang beliau ambil dalam membicarakan topik kucing dengan memudahkan pemahaman, termasuklah tidak menggunakan jargon bagi memastikan ia benar-benar difahami oleh para penonton.

Setakat ini, menurut beliau, maklum balas daripada para penonton, khususnya peminat kucing adalah positif. Satu daripada topik yang beliau bincangkan adalah tekanan. Seperti manusia, sesetengah haiwan secara tabiinya cenderung untuk mengalami tekanan dan ada yang terpaksa menangani trauma-trauma silam.

Kucing-kucing seperti ini memerlukan bantuan 'doktor haiwan berjiwa besar' seperti Dr Zul, yang menggabungkan kemahiran beliau dengan minatnya terhadap kucing bagi menangani masalah kucing yang berada dalam tekanan.

"Sebenarnya, kucing memang mengalami tekanan emosi dan ia adalah sesuatu yang perlu diambil serius," kata Dr Zul.

Selepas seminggu, fungus yang menjangkiti telinga dan muka Putih sudah sembuh.

Sebulan telah berlalu dan bulu Putih kembali menebal dan semakin lembut seperti dahulu.

Putih, yang kini mengandung, tidak lagi tidur di luar dengan adanya kasih sayang dan kediaman tetap yang disediakan tetapi Putih masih lagi berjalan-jalan di kawasan kejiranan pada siang hari. Ikatan kasih antara Putih dan penulis menjadi semakin kukuh setiap hari.

-- BERNAMA