SonaOne Rangkul Tiga Anugerah di Malam AIM ke-21

Last update: 08/12/2014

Oleh Fatiha Mokhtar dan Afiqah M.Rozi


KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- SonaOne melakukan kejutan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) apabila lagu ‘No More’ hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Terbaik.


Selain dinobat sebagai pemenang anugerah utama Lagu Terbaik, SonaOne juga berjaya meraih dua anugerah lain iaitu dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik.


“Dalam masa dua jam, saya dapat melihat keseluruhan karier saya dan perjuangan yang saya lalui selama ini berbaloi,” katanya dalam sidang media selepas majlis AIM21 yang berlangsung pada 6 Dis di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC).


SonaOne atau nama sebenar Mikael Adam Lozach juga merupakan seorang pengacara, produser, penulis lirik dan artis grafiti.


Penglibatan beliau dalam lagu-lagu seperti 'Who Do It Better', 'Havoc' dan 'Apa Khabar' bukan sahaja telah membuka mata para pendengar, malah meraih penghormatan yang tinggi daripada rakan-rakan seperjuangan.


"Saya mahu pendengar sedar lagu bukan hanya tentang bahasa, tetapi ianya tentang kualiti muzik itu sendiri," kata beliau yang bakal mengacarakan rancangan Travelog 'HipHopInAsia: The Saga Continues' musim ke-2.


Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza membuktikan penantian selama tiga tahun membuahkan hasil apabila album beliau yang berjudul 'Fragmen' berjaya dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik pada malam AIM21.


Antara pemenang lain pada malam gemilang tersebut adalah Akim Ahmad untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Datuk Ramli Sarip untuk Anugerah Sri Wirama, Azhael untuk Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Yuna untuk Video Muzik Terbaik, dan Poova untuk Artis Baru Terbaik.


-- BERNAMA