Lebih 20,000 Pengunjung Dijangka Hadir Di Fiesta D'Anson 2014

Last update: 03/12/2014

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Gerakan Belia 4B kawasan Teluk Intan akan menganjurkan Fiesta D'Anson 2014 bermula 4 Dis sehingga 14 Dis ini.


Program yang akan diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan adalah satu inisiatif Gerakan Belia 4B bagi menterjemahkan falsafah perpaduan dan integrasi rakyat dalam bentuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sebagai teras kepada program tersebut, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di Ipoh baru-baru ini.


"Fiesta D'Anson ini akan mempamerkan pelbagai budaya masyarakat ditambah dengan keunikan dan sejarah struktur Menara Condong, ia akan menjadi pemangkin menarik para pengunjung ke Fiesta D'Anson yang pertama kali diadakan ini," kata Yusrizal Mokhlas, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Program di dalam kenyataan tersebut.


Antara aktiviti yang akan diadakan adalah karnival jualan dan pameran, Anson Night Fun Ride, Zumba dan Freeletics, Malam Kebudayaan India, Pertandingan Tarian Singa, Malam Dakwah Anak Muda dan Pesta Pantun Menara Condong.


Turut diundang bagi menjayakan pesta ini adalah artis tersohor Malaysia, Ramli Sarip yang dijangka mengadakan persembahan bersama band Soul Journey pada 6 Dis, menurut kenyataan itu.


--BERNAMA