Konsert Eksklusif Orkestra RTM Bersama Datuk M.Daud Kilau

Last update: 02/12/2014

Oleh Afiqah Mat Rozi


KUALA LUMPUR 2 Dis (Bernama) -- Orkestra RTM sekali lagi mengadakan satu konsert ekslusif bersama artis veteran terkenal bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyumbang kepada industri muzik tanah air.


Konsert eksklusif ini diadakan pada 22 Nov bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri bersama Raja Gelek Malaysia, Datuk M.Daud Kilau Persembahan beliau diiringi oleh lebih 44 pemuzik profesional dan diterajui oleh pemimpin muzik berkaliber, Ahmad bin Ali atau lebih dikenali sebagai Jimmy Ali.


“Datuk M.Daud Kilau konsisten dalam pencapaian dan masih bergiat dalam industri muzik tanah air,” kata Pengarah Muzik Orkestra RTM, Dato’ Mokhzani Ismail apabila ditanya mengenai pemilihan Datuk M.Daud Kilau untuk persembahan konsert pada tahun ketiga ini.


Konsert yang membawakan tema berbeza ini, mengetengahkan lima segmen berlainan dengan jalan cerita tersendiri.


Orkestra RTM memberi kebebasan sepenuhnya kepada Datuk M.Daud Kilau dalam pemilihan lagu-lagu mengikut keselesaanya. Namun, bagi memberikan sedikit sentuhan komersial, penyanyi jemputan iaitu Haziq dan S.A. Ayesha turut mengiringinya.


Sementara itu, bagi penyanyi legenda berusia 76 tahun ini, usianya tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk terus berjuang dalam industri seni suara sejak penglibatannya dari tahun 1968 apabila beliau menjuarai Bintang Radio pada tahun itu.


Antara lagu yang dipersembahkan pada malam itu adalah Sirih Pinang, Laksamana Raja Di Laut, Lela Manja, Anak Ku Yang Pertama, Pinta Dan Doa, Gila Judi dan Hutang Minta Hutang.


--BERNAMA