'Jom Selfie' Di Gerai Pameran KKMM Sempena Perhimpunan Agung Umno 2014

Last update: 25/11/2014

Oleh Soon Li Wei dan Siti Baaqiah Mamat


KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Penggemar 'selfie' boleh mendapatkan perkhidmatan jurufoto profesional Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara percuma untuk mengabadikan kenangan sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2014.


Mereka boleh berbuat demikian di gerai pameran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Aras Tiga, Pusat Dagangan Dunia Putra selama lima hari bermula Selasa.


Pemangku Pengurus Pemasaran Foto Bernama Mohd Farhan Mustafa berkata para perwakilan dan orang ramai boleh ber'selfie' bersama rakan di lokasi Monitor C di gerai itu mulai 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari sepanjang perhimpunan agung Umno.


"Bagi menjadikan gambar selfie itu lebih menarik, kami menyediakan prop iaitu banner kecil kreatif yang mempunyai logo @pwtc, Umno, perhimpunan tahun ini dan perkataan 'selfie' supaya mereka mudah mengingati kenangan gambar itu dirakamkan.


"Gambar-Gambar selfie itu akan dimuat naik di laman sosial Instagram iaitu @bernamayouth, perwakilan dan orang ramai boleh mendapatkan gambar-gambar mereka melalui hashtag #bernamayouth dan #Bernama," katanya kepada Bernama.


Beliau berkata pengunjung bertuah juga boleh memilih untuk bergambar dengan artis tempatan yang akan hadir ke gerai itu secara bergilir-gilir.


Mohd Farhan berkata inisiatif itu adalah idea Bernama Youth, iaitu sebuah portal untuk generasi muda yang dimuat dalam www.bernama.com.


"Oleh kerana masih ramai lagi yang tidak tahu mengenai Bernama Youth, pihak kami bekerjasama mengadakan kempen sedemikian untuk memberi pendedahan kepada mereka tentang aktiviti yang disediakan, di samping membekalkan maklumat terkini berkaitan dengan belia dan gaya hidup.


Setakat ini, katanya, lebih 200 gambar selfie dimuat naik di laman sosial Instagram.


-- BERNAMA