MMU Bolot 10 Anugerah Iringan Festival Filem Pelajar Ke-11

Last update: 21/11/2014

CYBERJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Universiti Multimedia Malaysia (MMU) membolot 10 daripada 13 Anugerah Iringan dalam Festival Filem Pelajar Ke-11 Malaysia (FFP11) di sini pada Khamis malam.


Filem animasi 'Simfoni' yang dihasilkan penuntut MMU dinobatkan pemenang Anugerah Khas Juri bagi Inovasi Metamorfosis manakala sebuah lagi animasi 'White-Collar Time' karya penuntut MMU memenangi Anugerah Khas Juri bagi Karakter Animasi Terbaik.


Setiap pemenang membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Kamil Othman dan Pengarah FFP11 Azhar Ahmad pada Makan Malam dan Anugerah Iringan FFP11 di kampus MMU di sini.


'Simfoni' turut meraih Anugerah Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik manakala 'White-Collar Time' menggondol Anugerah Skrip Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.


MMU turut memenangi Anugerah Kesan Khas Terbaik dan Grafik Terbaik menerusi filem pendek 'Perception', 'The Man Who Drowned His Sorrows' (Anugerah Sinematografi Terbaik) dan 'The Running Men' (Anugerah Suntingan Terbaik).


Selain itu, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan memenangi Anugerah Kostum Terbaik menerusi filem pendek 'Curi' manakala Sentral College Penang meraih Undian Tertinggi Bagi Filem (Selfie) dan Undian Tertinggi Bagi Animasi (Hijau).


Malam Anugerah FFP11 akan berlangsung di Dewan Tun Canselor MMU di sini pada Sabtu. Masuk adalah percuma.


Pemenang bagi sembilan kategori iaitu Filem Pendek Terbaik, Dokumentari Terbaik, Muzik Video Terbaik, Animasi Terbaik, Iklan Terbaik, PSA Terbaik, Filem Eksperimental Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik Keseluruhan akan diumum pada malam itu.


Sebanyak 10 video terbaik daripada setiap kategori juga dipilih hasil proses penjurian berperingkat menerusi saringan dan peringkat akhir.


Antara juri profesional yang terbabit ialah Othman Hafsham selaku ketua juri, Datuk Rosyam Nor, Aziz M. Osman, Jurey Latiff, Sa'ad Hussein, Jacinta Felix dan Usamah Zaid.


MMU merupakan tuan rumah FFP11 tahun ini dan buat julung kalinya dalam sejarah festival, menganjurkan pertandingan itu secara dalam talian.


Ia menerima sebanyak 379 penyertaan daripada 40 IPT di seluruh negara.


Acara tahunan anjuran Finas itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar bidang perfileman.


-- BERNAMA